Pengasas AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – AirAsia X mungkin perlu menaikkan tambang dan mengurangkan penerbangan di beberapa destinasi yang tidak lagi mampu ditampung oleh kos bahan apinya susulan lonjakan harga di pasaran dunia akibat konflik Asia Barat.

Pengasasnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, permintaan bagi penerbangan-penerbangan terbabit kekal tinggi dan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu masih komited terhadap rancangan untuk menjadikan Bahrain sebagai hab.

Penerbangan pertama bagi destinasi itu dijadualkan pada 26 Jun.

Menurut beliau AirAsia sedang mempercepatkan penambahbaikan operasi dan integrasi ekosistem bagi mengurangkan tekanan, termasuk memperkukuh segmen kargo.

Ia juga bakal meningkatkan kesalinghubungan merentasi rangkaiannya, serta memanfaatkan platform digital seperti MOVE dan AirAsia NEXT untuk merangsang permintaan, di samping meningkatkan kecekapan penyelenggaraan dan prestasi ketepatan masa.

Beliau berkata perniagaan kargo AirAsia terus mencatat permintaan kukuh, disokong oleh cabang logistiknya, Teleport.

“Terdapat permintaan yang tinggi untuk perniagaan kargo kami dan kami sedang berusaha memastikan kapasiti mencukupi bagi memenuhi permintaan tersebut,” katanya pada taklimat media AirAsia X, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu akan terus menyemak tambang berdasarkan keadaan semasa dan harga bahan api, sambil menambah bahawa sebarang kenaikan akan dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengimbangi kemampuan pengguna dan pemulihan kos.

Setakat ini, katanya AirAsia X telah mengurangkan kira-kira 10 peratus penerbangannya, yang sebahagian besarnya mencerminkan corak permintaan bermusim selepas tempoh puncak Hari Raya.

“Di seluruh kumpulan, kami hanya mengurangkan kira-kira 10 peratus penerbangan, yang juga selaras dengan musim perjalanan yang lebih rendah selepas Raya,” katanya.

Beliau menambah bahawa rangkaian domestik dan ASEAN AirAsia yang luas membolehkan syarikat penerbangan itu mengagihkan kapasiti secara cekap sambil mengekalkan harga yang kompetitif merentasi pasaran.

Katanya, syarikat penerbangan itu juga sedang memperkukuh jejak kesalinghubungannya, dengan bandar seperti Istanbul berfungsi sebagai hab transit utama yang menghubungkan Eropah dan Asia, manakala permintaan yang semakin meningkat turut diperhatikan dari pasaran termasuk Asia Tengah.

Mengenai pelan pengembangan, Bo menegaskan semula komitmen untuk melancarkan penerbangan ke Bahrain pada Jun, tertakluk kepada perkembangan geopolitik.
“Kami masih melihat permintaan yang kukuh untuk Bahrain, dan rancangan untuk mengendalikan laluan itu kekal mengikut jadual,” katanya.

Beliau menambah bahawa laluan lain, termasuk Busan, berjalan seperti yang dijadualkan.
AirAsia berkata ia akan terus memantau keadaan pasaran dengan teliti dan menyesuaikan kapasiti serta tambang sewajarnya, sambil mengekalkan kesalinghubungan merentasi pasaran utamanya. -MalaysiaGazette

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast