KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) digesa membayar pampasan kepada negara terjejas termasuk Malaysia susulan konflik peperangan di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global, khususnya peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan pasaran.
Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, tuntutan itu wajar disalurkan melalui Kedutaan AS sebagai langkah menuntut pertanggungjawaban terhadap kesan ekonomi yang ditanggung negara membangun.
Menurutnya, konflik melibatkan AS, Israel dan Iran bukan sahaja menjejaskan negara yang terlibat secara langsung, malah memberi tekanan kepada negara lain melalui kenaikan harga minyak akibat gangguan bekalan di Asia Barat.
“Kesan peperangan dan sekatan ekonomi mengheret negara membangun ke dalam ketidakstabilan ekonomi yang tidak sepatutnya ditanggung.
“Oleh itu, kita berhak menuntut agar AS mempertimbangkan pampasan terhadap impak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kenaikan harga minyak telah meningkatkan kos bahan api, logistik dan tenaga, sekali gus menyumbang kepada tekanan inflasi apabila kos pengeluaran meningkat dan harga barangan serta perkhidmatan naik.
Dalam masa sama, katanya, ketidaktentuan geopolitik turut menjejaskan keyakinan pelabur serta memperlahankan pertumbuhan ekonomi global, selain menyebabkan pasaran kewangan tidak stabil dengan turun naik ketara.
Menurut Dr Sathia, negara membangun yang bergantung kepada import tenaga adalah antara yang paling terkesan dengan situasi tersebut.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia perlu berani menyuarakan hak di pentas diplomasi bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara daripada kesan konflik luar.
“Adalah wajar negara terjejas menuntut mekanisme pampasan atau bantuan ekonomi bagi mengimbangi kerugian yang ditanggung rakyat, khususnya di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan menghantar memorandum kepada Kedutaan AS di sini Selasa ini, bagi menyuarakan tuntutan berkenaan. – MalaysiaGazette
















