Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyarankan acara-acara yang tidak diperlukan seperti Program Madani Rakyat (PMR) dan program-program politik besar-besaran dihentikan terlebih dahulu dalam mendepani krisis bekalan tenaga global.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, langkah tersebut meskipun tidak dapat menjimatkan jutaan liter petrol dan diesel, namun sekurang-kurangnya dapat menjimatkan wang dan memberi teladan yang baik kepada rakyat.

Terdahulu, ujarnya, krisis tenaga dunia ketika ini bukan perkara main-main, sebaliknya jika perang berterusan, Malaysia juga akan merasai kesannya dalam tempoh sebulan dua lagi.

Antara kesan itu, jelas beliau, adalah bekalan petrol dan diesel akan berkurangan mendadak, serta dana kerajaan akan berkurangan mendadak dan tidak lagi mampu mengekalkan harga seperti sekarang.

Sehubungan itu, tambahnya, sesiapa pun yang menjadi kerajaan, keadaan tersebut tidak dapat dielakkan.

“Pada masa yang sama, kereta terus memenuhi jalan raya terutamanya musim rumah terbuka.

“Teladan yang ditunjukkan pimpinan politik (konvoi beramai-ramai, perhimpunan politik dan perjalanan Perdana Menteri dan pengiring ke mana-mana) memberi gambaran ada disconnect antara mesej krisis tenaga yang rakyat perlu fahami, dengan tingkah laku pimpinan.

“Pakai video call je la lepas ni jap sampai krisis ni habis,” tulis bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan menerusi laman sosial X beliau hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast