Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (KIKSM) memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan had tuntutan bahan api bagi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

MELAKA – Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (KIKSM) memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan had tuntutan bahan api bagi petugas Kementerian Kesihatan  (KKM) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

Presidennya, Mohd Zool Asmani Mahmood berkata, cadangan itu dibuat susulan peningkatan beban tugas lapangan yang memerlukan pergerakan kerap menggunakan kenderaan sendiri.

Mohd Zool Asmani Mahmood

Menurutnya, majoriti petugas kesihatan terutama di bahagian penguatkuasaan dan kesihatan awam terpaksa menggunakan kenderaan peribadi untuk melaksanakan tugasan rasmi.

Ini jelasnya, termasuklah siasatan kes penyakit berjangkit, pemeriksaan premis makanan serta operasi penguatkuasaan.

“Had 200 liter sedia ada dilihat tidak lagi mencukupi berikutan keluasan kawasan operasi dan peningkatan jumlah kes yang perlu disiasat setiap hari.

“Keadaan ini menyebabkan petugas sering kali terpaksa menanggung sendiri baki kos bahan api selepas had tuntutan habis digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, petugas KKM merupakan barisan hadapan yang perlu hadir secara fizikal di lapangan dan tidak boleh melaksanakan tugasan secara bekerja dari rumah (BDR), sekali gus menjadikan keperluan mobiliti sebagai aspek kritikal dalam penyampaian perkhidmatan.

Sehubungan itu, katanya, penyelarasan had tuntutan kepada 300 liter sebulan dilihat sebagai langkah wajar bagi meringankan beban kewangan petugas selain memastikan kelancaran operasi kesihatan awam.

“KIKSM berharap agar kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan cadangan ini demi menjaga kebajikan warga KKM yang sentiasa komited sebagai barisan hadapan dalam menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast