GEORGE TOWN – Sebuah ambulans yang sedang menjalankan tugas kecemasan terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan lain di Jalan Bukit Gambir di sini semalam.
Insiden yang berlaku di hadapan Universiti Sains Malaysia (USM) kira-kira 11.02 pagi itu turut tular di media sosial dan mengundang perhatian orang ramai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 1.06 tengah hari.
“Hasil siasatan mendapati sebuah Perodua Axia dipandu wanita tempatan berusia 19 tahun telah melanggar ambulans yang sedang melalui simpang lampu isyarat dengan siren diaktifkan.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan ambulans berkenaan terbabas sebelum melanggar sebuah Proton Saga yang sedang menunggu di lampu isyarat.
“Ambulans itu ketika kejadian sedang dalam perjalanan untuk mengambil seorang pesakit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, pemandu ambulans lelaki berusia 51 tahun bersama tiga penumpang yang juga penolong pegawai perubatan berumur antara 35 hingga 41 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu Perodua Axia yang merupakan pelajar berusia 19 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada, tulang rusuk dan pinggang.
“Pemandu Proton Saga berusia 65 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















