Tangkap layar video tular tahanan reman lolos kawalan polis di Penjara Sungai Buloh.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara sedang menyiasat penularan video rakaman CCTV yang memaparkan seorang tahanan reman dipercayai lolos daripada kawalan polis di perkarangan Penjara Sungai Buloh.

Katanya, jabatan tersebut sedang meneliti kesahihan dan sumber asal video berkenaan.

“Jabatan Penjara ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan institusi pemulihan sentiasa menjadi keutamaan.

“Sebarang kelemahan yang dikenal pasti akan ditambah baik serta tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Polis buru tahanan reman warga Pakistan bolos Penjara Sungai Buloh

Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta ketenteraman awam.

Jumaat lalu media melaporkan seorang tahanan reman warga Pakistan bolos dari Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek berjaya melarikan diri daripada kawalan polis di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh pada 6 petang, Khamis selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam, Selangor.

Suspek yang ditahan bagi perbicaraan berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak dan kesalahan imigresen kali terakhir dilihat memakai kemeja-T oren dan seluar panjang hitam.

Operasi memburu suspek masih diteruskan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast