KUALA LUMPUR – Cadangan pemberian moratorium sewa MyKiosk selama enam bulan kepada semua penyewa aktif di seluruh negara dikemukakan sebagai langkah segera membantu peniaga kecil dan mikro yang tertekan akibat kos sara hidup yang masih tinggi.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keadaan ekonomi semasa yang dipacu oleh kenaikan harga bahan api, kos logistik serta bahan mentah telah memberi kesan langsung kepada golongan penjaja kecil, sekali gus mengecilkan margin keuntungan mereka.
Menurut beliau, perkara itu diperoleh hasil pertemuan dengan kumpulan penjaja kecil di Tasek Gelugor minggu lalu yang meluahkan kebimbangan terhadap kelangsungan perniagaan dalam suasana ekonomi tidak menentu.
“Saya mencadangkan agar kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbangkan pemberian moratorium sewa kepada penyewa MyKiosk sebagai bantuan bersasar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas implikasi kewangan, Wan Saiful menjelaskan, terdapat kira-kira 7,243 unit kiosk di seluruh negara dengan kos pembangunan sekitar RM150 juta manakala kadar sewa bulanan dianggarkan antara RM200 hingga RM300.
“Jika moratorium dilaksanakan, anggaran kos kepada kerajaan hanyalah sekitar RM8.6 juta hingga RM13 juta, malah mungkin lebih rendah kerana kadar penggunaan tidak mencapai 100 peratus,” ujarnya.
Tambah beliau, jumlah tersebut adalah kecil berbanding keseluruhan kos pembangunan program MyKiosk namun mampu memberi kelegaan kepada ribuan penjaja kecil.
Beliau menegaskan, moratorium ini merupakan langkah sementara yang praktikal bagi membantu memperbaiki aliran tunai peniaga mikro serta menstabilkan operasi mereka dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat. – MalaysiaGazette
















