LONDON – Rehat selama 23 hari tanpa perlawanan kompetitif jelas membuatkan Manchester United serba tidak menjadi apabila tewas kepada Leeds United 1-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, dengan Noah Okafor muncul wira apabila meledak dua gol di Old Trafford.
Kemenangan itu menyaksikan Leeds terus meninggalkan zon penyingkiran manakala Man United kekal di tangga ketiga liga pada 55 mata.
Apa yang pasti, tuan rumah yang kembali beraksi selepas rehat antarabangsa dilihat bergelut menyesuaikan diri apabila kerap kehilangan bola di kawasan sendiri akibat tekanan tinggi Leeds.
Situasi menjadi parah buat Man United apabila pertahanan Lisandro Martinez dilayangkan kad merah pada minit ke-56 selepas didapati menarik rambut penyerang lawan, Dominic Calvert-Lewin, hasil semakan VAR.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, United berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Casemiro pada minit ke-69 selepas ketinggalan 2-0 namun gagal mencari gol penyamaan walaupun melancarkan asakan bertali arus di penghujung permainan.
Sementara itu, pengendali Manchester United, Michael Carrick, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil, khususnya insiden kad merah Martinez. – Agensi
















