PELABUHAN KLANG – Sebanyak 15 kontena sisa eletronik (e-waste) telah diarahkan keluar dari negara sekali gus merupakan satu kejayaan dalam usaha penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa di Pelabuhan Klang.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kontena terbabit diusir keluar melalui Westport pukul 8 pagi tadi menerusi Ops Green Shield.
“Alhamdulilah, hari ini, 15 kontena e-waste telah berjaya dihantar keluar, dimana selama ini dari bulan Januari lalu, AKPS bersama Joint Task Force yang ditubuhkan iaitu Kastam, Lembaga Pelabuhan Klang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM dan kami bersama.
“Sepanjang pelaksanaan Op Green Shield 1 hingga Op Green Shield 21, sebanyak 456 telah diperiksa daripada itu 254 kontena yang disahkan e-waste telah ditahan oleh AKPS bersama Joint Task Force.
“Kita juga ada kontena-kontena yang telah ditahan pada tahun lepas daripada Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman iaitu sebanyak 549 kontena.
“Secara keseluruhan, sebanyak 803 kontena e-waste telah diambil tindakan penguatkuasaan untuk dibawa keluar dari negara selaras dengan peruntukan undang-undang berkuat kuasa,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang Utara hari ini.
Tambah Nik Ezanee, pihaknya juga menjangka sebanyak 150 kontena lagi akan diusir keluar dari negara ini menjelang hujung bulan ini.
“Ini merupakan satu pencapaian penting bagi kami dan ia menunjukkan bahawa apabila semua agensi bekerjasama dengan objektif yang sama, kita mampu bergerak ke hadapan dengan berkesan dalam menangani import e-waste haram.
“Untuk tindakan bersama dengan syarikat perkapalan yang ada untuk mereka keluarkan balik kontena-kontena ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan fasa yang lebih mencabar masih menanti, khususnya dalam mengekalkan kerjasama serta menyelesaikan baki kontena yang masih tertunggak.
Nik Ezanee turut merakamkan penghargaan kepada syarikat perkapalan atas kerjasama mereka dalam memudahkan proses tersebut sambil menyifatkan kerjasama itu sebagai faktor penting dalam memastikan penghantaran pulang berjalan lancar.
Tindakan tersebut selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu melalui pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026.
Di bawah Op Green Shield, pihak berkuasa telah mempergiatkan pemeriksaan terhadap kontena yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang selaras dengan larangan mutlak import e-waste yang dikuatkuasakan menerusi Perintah Kastam (Larangan Import).
Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan Malaysia tidak menjadi lokasi pelupusan e-waste haram, di samping memperkukuh penguatkuasaan di pintu masuk negara demi melindungi kelestarian alam sekitar dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette
















