MELAKA – Pemandu bas ekspres yang tular memandu sambil meriba seorang wanita akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk membantu siasatan kes itu esok.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pemandu lelaki berusia 36 tahun itu berjaya dihubungi, namun berada di Sungai Besi, manakala wanita terbabit berada di Kedah.
“Pemandu terbabit memaklumkan akan hadir ke IPD Jasin esok dan wanita terbabit yang berada di Kedah juga akan kembali ke Kuala Lumpur esok.
“Mereka akan hadir ke IPD Jasin untuk membantu siasatan kes berkenaan esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan pemandu bas terbabit sudah berkahwin, manakala wanita terbabit dipercayai hanyalah merupakan kenalannya.
Ia selepas video berdurasi lapan saat yang dipercayai berlaku di kawasan susur masuk R&R Bemban, Jasin arah selatan kira-kira pukul 7.30 malam Ahad lalu, tular di media sosial semalam.
Ketika kejadian bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru. – MalaysiaGazette
















