Gambar hiasan

RIYADH – Denda maksimum sebanyak SAR100,000  (1.00 SAR = 1.05365617 MYR) akan dikenakan ke atas individu yang menunaikan ibadah haji tanpa permit, serta mereka yang membantu pemegang pelbagai jenis visa lawatan menunaikan haji secara tidak sah.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata, penalti tersebut akan dikenakan kepada individu yang melanggar undang-undang sepanjang tempoh bermula 1 Zulqaedah, bersamaan 18 April, hingga 14 Zulhijjah.

Menurutnya, denda maksimum SR20,000 akan dikenakan ke atas individu yang didapati menunaikan atau cuba menunaikan haji tanpa permit. Hukuman sama turut dikenakan kepada pemegang semua jenis visa lawatan yang memasuki atau cuba memasuki atau berada di Makkah dan kawasan tanah suci dalam tempoh 18 April hingga 14 Zulhijjah.

Manakala denda maksimum SR100,000 akan dikenakan ke atas sesiapa yang memohon visa lawatan bagi individu yang menunaikan atau cuba menunaikan haji tanpa permit, atau yang memasuki atau berada di Makkah dan kawasan tanah suci dalam tempoh tersebut.

Denda akan digandakan bagi setiap individu yang terlibat, lapor Saudi Gazette.

Denda SR100,000 juga akan dikenakan kepada sesiapa yang mengangkut atau cuba mengangkut pemegang visa lawatan ke Makkah dan kawasan tanah suci dalam tempoh berkenaan, serta mereka yang memberi perlindungan atau cuba memberi perlindungan kepada pemegang visa lawatan di mana-mana tempat penginapan termasuk hotel, apartmen, kediaman persendirian, pusat perlindungan atau kemudahan penginapan haji.

Hukuman sama turut dikenakan kepada mereka yang menyembunyikan kehadiran pemegang visa lawatan yang melanggar undang-undang atau memberi bantuan yang membolehkan mereka kekal di Makkah. Denda akan digandakan bagi setiap individu yang dilindungi, disembunyikan atau dibantu.

Selain itu, individu yang menyusup masuk ke Makkah untuk menunaikan haji tanpa permit, sama ada penduduk atau yang tinggal melebihi tempoh visa, akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

Mahkamah juga akan dimohon untuk merampas kenderaan yang digunakan untuk mengangkut pemegang visa lawatan ke Makkah dan kawasan tanah suci dalam tempoh 18 April hingga 14 Zulhijjah, sekiranya kenderaan tersebut dimiliki oleh pengangkut, individu yang memudahkan atau mana-mana pihak yang bersubahat.

Kementerian itu menambah, mana-mana individu yang dikenakan penalti berhak mengemukakan bantahan kepada jawatankuasa berwibawa dalam tempoh 30 hari dari tarikh dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Mereka juga mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan jawatankuasa itu di Mahkamah Pentadbiran dalam tempoh 60 hari dari tarikh notis keputusan.

Kementerian tersebut turut menggesa rakyat Arab Saudi, warga asing serta semua pemegang visa supaya mematuhi peraturan berkaitan pelaksanaan ibadah haji dan mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast