Foto FB Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Megaklinik Dr Suffian (MKDS) dan Pengarah Perubatannya, Dr Suffian Sani Sayuti telah memulakan tindakan undang-undang ke atas seorang pengguna Instagram yang mendakwa pihaknya mendedahkan maklumat pesakit membabitkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kedua-dua pihak itu menegaskan, mereka tidak akan berundur dalam mempertahankan nama, kedudukan dan hak di bawah undang-undang sedia sedia selain langkah itu diambil untuk melindungi reputasi dan integriti MKDS dan Dr Suffian.

Ujar mereka, serangan palsu, berniat jahat dan memfitnah terhadap MKDS yang juga pusat perubatan penurunan berat badan itu akan berlandaskan undang-undang yang tegas.

“Tuduhan yang dibuat oleh @syidah_tat oleh itu bukan sekadar tidak benar. Ia adalah satu pembohongan yang disengajakan dan berbahaya di mana menjejaskan integriti, reputasi dan kedudukan etika MDS dan Dr Suffian secara profesional.

“MKDS dan Dr Suffian ingin mengingatkan semua pihak untuk segera menghentikan penerbitan, pengulangan, pengedaran atau pembesaran kenyataan palsu yang tidak disahkan dan menimbulkan fitnah daripada tuduhan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

 

Laman sosial Thread Siti Nurhaliza.

Semalam, Siti Nurhaliza di laman sosial Thread miliknya tampil menjelaskan dakwaan @syidah_tat yang mengatakan penghibur nombor satu itu semakin kurus apabila beralih daripada suntikan mounjaro ke suntikan retatrutide (reta) hasil malumat Dr Suffian.

Siti Nurhaliza berkata, dia tidak mengenali wanita itu dan telah menghubungi secara personal di media sosial di mana memaafkan individu tersebut selepas dia membuat permohonan maaf.

Suntikan reta kini menjadi popular di media sosial sebagai kaedah penurunan berat badan yang cepat, namun ia sebenarnya ubat eksperimental yang belum diluluskan oleh badan kawal selia seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan Agensi Regulatori Farmasi Negara untuk kegunaan awam.

Mengulas lanjut, MKDS dan Dr Suffian menafikan tuduhan palsu yang disebarkan oleh pengguna Instagram @syidah_tat itu yang mendakwa bahawa pihaknya telah mendedahkan maklumat peribadi berkaitan Siti Nurhaliza.

Tegas mereka, dakwaan yang dibuat oleh @yidah_tat adalah sepenuhnya palsu, berniat jahat dan sama sekali tidak berasas.

“Berdasarkan rekod dan pengesahan kami, @syidah_tat bukanlah pesakit atau pelanggan MKDS, dan MKDS mahupun Dr Suffian tidak pernah mempunyai sebarang interaksi, komunikasi atau urusan profesional dengan individu tersebut.

“Dr Suffian sebelum ini mempunyai hubungan doktor-pesakit secara profesional dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Seperti semua pesakit di bawah MKDS, sebarang maklumat yang diperoleh semasa rawatan perubatan dilindungi oleh kerahsiaan yang ketat dan tidak pernah didedahkan secara luaran tanpa asas atau persetujuan yang sah.

“Kami ingin menegaskan semula bahawa MKDS dan Dr Suffian tidak pernah menggunakan nama, identiti, atau sebarang perkara perubatan peribadi Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai testimoni, sokongan, alat promosi atau penghormatan pemasaran,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

Tindakan undang-undang diambil untuk melindungi reputasi dan integriti MKDS dan Dr Suffian.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast