TEMERLOH – Empat sekeluarga bersyukur terselamat daripada kebakaran di rumah mereka di Taman Temerloh Jaya, di sini awal pagi tadi.
Ketika dihubungi, Sarina Zaini, 50, memberitahu, dia hanya menyedari rumah itu terbakar selepas terdengar jeritan daripada jirannya kira-kira pukul 2.30 pagi.
“Ketika dengar jiran jerit ada api, saya, anak lelaki, adik lelaki dan emak saya sedang tidur. Saya terus bangun dan kejut adik untuk selamatkan mak. Sebab mak tak berapa sihat, sakit tua.
“Kami terus keluar ikut pintu belakang. Memang tak sempat selamatkan apa-apa.
“Telefon saya pun tak sempat nak ambil. Mujur adik lelaki ada bawa telefon dia bersama. Saya sekarang buntu nak hubungi sesiapa termasuk urusan kerja,” luahnya.
Dia yang bekerja sebagai jurujual memberitahu, anggaran kerugian adalah sekitar RM60,000, namun tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat.
Menurut Sarina, empat anaknya kini berada bersama ayah mereka di Kuala Lumpur, manakala anak lelakinya yang berusia 23 tahun tinggal bersamanya di rumah sewa yang diduduki sejak 12 tahun lepas itu.
Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria memaklumkan kejadian itu turut membabitkan dua buah rumah lain berhampiran rumah Sarina.
Katanya, rumah teres setingkat didiami empat sekeluarga itu paling teruk terbakar iaitu sekitar 80 peratus, manakala dua buah rumah lagi terbakar kira-kira 20 peratus dan 30 peratus sebelum api berjaya dikawal.
Kesemua sembilan penghuni kedua-dua rumah itu juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin dibantu enam anggota dari BBP Temerloh bertungkus lumus memadamkan kebakaran sejurus tiba kira-kira 10 minit selepas menerima laporan,” katanya.
Zulfadli berkata, kebakaran itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang hangus sepenuhnya. – MalaysiaGazette
















