PELABUHAN KLANG –  Perolehan senjata bagi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan dimulakan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perolehan itu dipersetujui menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang melibat keperluan berkenaan susulan insiden tembakan terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Februari lalu.

“Keperluan persenjataan itu kita telah setuju cuma jenisnya sahaja, senjata ini banyak bentuk taser gun misalnya atau senjata ringan seperti pistol.

“Kedua-dua opsyen itu sedang diteliti Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sesuai dengan arahan Jemaah Menteri saya sampaikan kepada beliau untuk pelaksanaan.

“Dari segi fasa pelaksanaan, kita nak persiapkan mereka dengan yang mana dulu sama ada taser gun atau pistol atau serentak itu akan diperhalusi oleh Ketua Setiausaha Kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pemurnian al-Quran Kementerian Dalam Negeri di Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, perolehan tersebut perlu disegerakan mengambilkira penugasan AKPS yang berisiko tinggi selain sebarang perkembangan mengenai perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebagai rekod,  27 Febuari lalu sebuah Proton X70 dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir dilaporkan ditembak kira-kira 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat Subuh dilaporkan terselamat.

Kemudian, Saifuddin berkata, kerajaan bersedia menyokong keperluan AKPS termasuk dari segi persenjataan dan kelengkapan keselamatan bagi memastikan agensi itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast