KUALA LUMPUR – Lapan wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sebagai pembantu rumah berjaya diselamatkan dalam Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di 11 lokasi sekitar Lembah Klang pada Rabu lepas.
Operasi yang bermula pukul 11 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan di beberapa kawasan termasuk Telok Panglima Garang, Jenjarom, Kajang, Bukit OUG, Shah Alam, Gombak, Cheras, Batu Caves serta tiga lokasi di Seri Kembangan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan pertama, empat wanita Indonesia berjaya diselamatkan manakala dua wanita tempatan dipercayai ‘ejen haram’, iaitu ibu dan anak dikenali sebagai ‘Ibu Maznah’ ditahan.
“Serbuan kedua pula menyelamatkan empat lagi wanita Indonesia selain penahanan dua lelaki warga Yaman dan dua wanita Indonesia yang dipercayai ejen sindiket dikenali sebagai ‘Ibu Nancy’.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Zakaria memaklumkan, menerusi pemeriksaan di lokasi lain, JIM turut menahan 18 warga Indonesia terdiri daripada 10 lelaki dan lapan wanita kerana tidak memiliki pas sah.
Hasil operasi itu kata beliau, pihak berkuasa menyita 21 pasport Indonesia, tujuh telefon bimbit, dokumen perjanjian antara ejen dan majikan serta sebuah kenderaan Perodua Bezza yang dipercayai digunakan sindiket.
Beliau menjelaskan, siasatan mendapati sindiket berkenaan menawarkan pekerjaan kepada warga Indonesia tanpa dokumen sah sebagai pembantu rumah asing (PRA), selain memperdaya majikan dengan janji menguruskan permit kerja.
“Bayaran antara RM4,500 hingga RM6,000 dikenakan bagi setiap pembantu rumah, dan sindiket dipercayai beroperasi sejak setahun lalu,” tambahnya.
Zakaria menegaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Seorang wanita tempatan turut disiasat di bawah Akta Pasport 1966, manakala 18 warga asing disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Semua mangsa telah ditempatkan di rumah perlindungan, manakala, beberapa individu tempatan diberikan notis untuk membantu siasatan,” katanya lagi.
Zakaria berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang serta penyeludupan migran.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan berkenaan. – MalaysiaGazette
















