KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab pada 16 April 2026 terhadap syarikat Billion Stars Express Sdn. Bhd. selaku pemilik bas ekspres bernombor pendaftaran BSB 4999.
Ia susulan insiden tular yang melibatkan cara pemanduan seorang pemandu bas ekspres berkenaan yang didakwa memandu secara berbahaya dan boleh membahayakan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, sebagai pemegang Lesen Pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam, syarikat tersebut disiasat di bawah Seksyen 22(1)(b)(iii), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] berhubung kelakuan pemandu dan konduktor kenderaan perkhidmatan awam.
Syarikat berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 23(1)(b) berikutan kegagalan pengendali berlesen dan pekerjanya memberikan keutamaan tertinggi kepada keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya; dan Perkara 7, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) — pengendali berlesen bertanggungjawab memastikan pekerja dan pemandu sentiasa menjaga tingkah laku semasa beroperasi.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/04/16/polis-buru-pemandu-bas-disyaki-mabuk-pandu-sebelah-tangan/
Katanya, perkara itu akan disusuli dengan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana syarat Lesen Pengendali berdasarkan Seksyen 27 Akta 715.
“Dalam masa yang sama, APAD menyeru seluruh komuniti MADANI agar menyalurkan laporan berkaitan sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang oleh individu atau pemegang lesen perkhidmatan pengangkutan awam melalui saluran yang dinyatakan iaitu Talian Aduan MOT: 1-800-88-7723 dan WhatsApp: +6019-290 7723,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan, polis sedang memburu pemandu bas yang tular memandu sebelah tangan dan didakwa dalam keadaan mabuk ketika perbuatannya itu dirakamkan lelaki dipercayai penumpang bas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik sedang menjalankan siasatan berhubung rakaman itu yang tersebar di media sosial.
Menurutnya, rakaman video berdurasi satu minit 20 saat itu menunjukkan pemandu bas terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam. -MalaysiaGazette
















