KOTA TINGGI – Seorang wanita yang berniaga di Taman Kota Jaya di sini itu mengakui masih terkejut dengan kejadian tiga individu yang mati ditembak di hadapan sebuah restoran di sini semalam.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan tidak menyangka bunyi kuat yang didengari yang awalnya disangka bunyi mercun rupanya sedang berlaku kejadian tembakan menyebabkan tiga maut.
Menurutnya, kejadian berlaku tengah hari semasa dia sedang menyiapkan tempahan makanan dalam kedai.
“Suspek memang dikenali di kawasan ini dan merupakan pelanggan tetap di kedai mangsa. Ketika kejadian kebetulan kedai mangsa tiada pelanggan di mana berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak mengambil senjatanya dalam kereta.
“Kedai saya buka petang tapi kami datang pagi sebab siapkan tempahan. Mula-mula saya dengar bunyi kuat ingat bunyi mercun dan saya sangka itu bunyi tembakan orang menembak burung gagak.
“Sebaik lihat di luar kedai saya dapat lihat lelaki itu memegang senjata dan terus jadi cemas. Kebetulan anak saya duduk di luar kedai terus saya suruh anak masuk.
“Bila tengok semula, dia memang pegang senapang dan sudah tembak orang di dalam kedai dengan beberapa das tembakan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Wanita itu turut mendakwa suspek kemudian beredar ke sebuah kedai berhampiran dan dipercayai sempat memberitahu orang awam bahawa dia telah menembak mangsa.
“Memang trauma dengan apa yang berlaku. Jika bergaduh mulut daripada pelanggan Cina itu biasa di sini tetapi kali ini bila berlaku tembakan memang mengejutkan kami,” katanya.
Sementara itu, lokasi tiga individu yang mati ditembak di hadapan sebuah restoran di Taman Kota Jaya di sini kembali normal dan aktiviti harian penduduk setempat berjalan seperti biasa.
Tinjauan di kawasan tersebut mendapati, restoran berkenaan yang difahamkan milik salah seorang mangsa ditutup sejak semalam.
Suspek yang berusia 71 tahun ditahan reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
BACA: Warga emas direman bantu siasatan kes tembak mati tiga individu
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita Vietnam berusia antara 37 hingga 63 tahun disahkan maut di lokasi kejadian akibat tembakan senjata api. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















