Gambar fail

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kerja-kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pengarah syarikat sebuah syarikat pembinaan disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.

“Suspek dipercayai mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bagi tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027,” katanya.

Tambah sumber, suspek turut menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi yang sama untuk mendapatkan beberapa kontrak kerja lain di beberapa agensi kerajaan sekitar Sabah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast