KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini meningkatkan hukuman penjara daripada tiga hari kepada tiga bulan terhadap seorang bekas pemandu e-hailing kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding semakan.
Sebelum ini, pada 6 April, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM6,000 terhadap tertuduh, Wong Kok Kong, selepas dia mengaku bersalah.
Lelaki berusia 32 tahun itu telah menjalani hukuman penjara tersebut serta menjelaskan denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandunya digantung selama lima tahun.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Klang Lama kira-kira jam 9.44 pagi pada 5 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.
Rakaman video tular menunjukkan kenderaan dipandu melawan arus dari persimpangan Jalan Klang Lama–Jalan Sepadu hingga ke Jalan Kuchai Lama.
Siasatan mendapati tertuduh memandu melawan arus sejauh kira-kira 500 meter selepas tersilap mengambil laluan ketika menuju ke Mid Valley Megamall.
Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail berhujah perbuatan itu disengajakan dan hukuman lebih berat perlu sebagai pengajaran kepada pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, peguam K Gejalaxmi memohon hukuman diringankan atas alasan anak guamnya pesalah kali pertama dan perlu menyara keluarga, namun mahkamah memutuskan hukuman lebih tegas wajar dikenakan. – MalaysiaGazette














