Enam individu antara yang ditahan dalam OP Taring Wwasan Kelantan. - Foto: FB Briged Tenggara PGA Rasmi

KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk lima warga asing ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) lewat malam tadi.

Dalam operasi kira-kira 11.30 malam itu, pasukan Strike Force Kompeni B PGA mengesan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya memecut laju dan dikejar sehingga berhenti di tepi jalan Terbok–Kelaboran Belukar, di sini.

PGA dalam satu kenyataan hari ini berkata, dua lelaki berjaya melarikan diri namun pemeriksaan ke atas kenderaan menemui lima warga asing yang bersembunyi di tempat duduk belakang.

“Susulan itu, serbuan dilakukan ke sebuah rumah di Kampung Bunohan pada jam 4 pagi dan berjaya menahan seorang lelaki Melayu berusia 18 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat,” katanya menerusi Facebook Briged Tenggara PGA.

Hasil siasatan, suspek mengaku menyediakan pengangkutan kepada PATI dengan bayaran RM100 seorang.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut merampas sebuah Mitsubishi Triton, lima pasport asing, empat telefon bimbit serta wang tunai pelbagai mata wang dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM126,551.68.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek lelaki tempatan itu turut mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 55(e) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan awal mendapati lima warga asing terdiri daripada empat warga India dan seorang warga Sri Lanka yang dipercayai memasuki negara ini menggunakan laluan tidak sah dari Thailand sebelum menyeberangi sungai ke Malaysia.

Mereka mengaku membayar kira-kira RM3,000 kepada ejen di negara asal bagi tujuan perjalanan dan kemasukan ke Thailand serta Malaysia untuk mencari pekerjaan.

Difahamkan, suspek lelaki tempatan itu pula diupah oleh individu lain untuk mengambil PATI di pangkalan haram sebelum menghantar mereka ke stesen bas di Kota Bharu, dengan bayaran hanya diterima selepas penghantaran berjaya.

Kesemua tangkapan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut, manakala kawalan dan rondaan di kawasan sempadan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast