Raja Sara Petra

KUALA LUMPUR – Raja Sara Petra mempersoalkan tindakan terhadap individu yang mengulang siar video lama, sambil menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan membimbangkan dalam ruang kebebasan bersuara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau mengkritik tindakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang didakwa mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan terhadap perkongsian semula kandungan sedia ada.

“Adakah kita sudah sampai ke tahap di mana ulang siar video lama pun boleh mencetuskan tindakan kerajaan?,” soalnya.

Menurut beliau, tindakan terhadap kandungan bukan palsu atau dihasilkan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya bahan lama yang pernah beredar sebelum ini, menimbulkan persoalan besar.

“Sejak bila kebenaran mempunyai tarikh luput? Jika sesuatu video boleh diterima sebelum ini, apa yang menjadikannya berbahaya hari ini,” ujarnya.

Raja Sara berkata, keadaan itu memberi gambaran seolah-olah wujud usaha bukan sekadar mengawal kandungan, tetapi mencorak semula persepsi awam.

Katanya, jika isu sebenar adalah maklumat tidak tepat, pihak berkuasa perlu menyatakan secara jelas dan membuktikan kepalsuan tersebut sebelum mengambil tindakan.

“Namun, jika isu itu hanya kerana video lama kembali tular dan menimbulkan ketidakselesaan kepada pihak tertentu, itu bukan isu perundangan tetapi isu politik,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepercayaan rakyat tidak boleh dibina melalui pendekatan yang membuatkan orang ramai berasa terancam setiap kali berkongsi maklumat.

“Politik tidak boleh diselesaikan dengan menutup ruang perbincangan. Ia perlu diselesaikan dengan akauntabiliti,” tegasnya.

Tambahnya, sebarang usaha untuk menentukan kandungan lama yang boleh atau tidak boleh dikongsi berisiko mencetuskan persepsi bahawa sejarah sedang ditulis semula.

“Rakyat boleh melihat perbezaannya dengan jelas,” katanya lagi.

Semalam, Fahmi dilaporkan mendakwa video tular di laman sosial, TikTok yang dimuat naik oleh pemilik akaun @janggut.putih merupakan rakaman pada tahun 2019.

Menurutnya, rakaman berdurasi satu minit 49 saat itu sengaja diulang siar kerana mahu menimbulkan rasa marah.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan MCMC mengesan suspek untuk diambil tindakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast