Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar. Foto Hari Anggara, 22 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Dakwaan kewujudan aktiviti “mafia korporat” dalam negara didakwa semakin rumit dan membimbangkan, namun kerajaan dilihat masih gagal menunjukkan ketegasan dalam menangani isu tersebut.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pendedahan terkini berhubung cubaan pengambilalihan syarikat NexG Berhad secara tidak sah memberi gambaran bahawa isu berkenaan tidak lagi boleh dipandang enteng.

Beliau mendakwa, NexG Berhad sebelum ini mengendalikan kontrak kerajaan bernilai lebih RM2.4 bilion termasuk pembekalan pasport dan sistem MyKad serta MyTentera.

“Cerita ‘Mafia Korporat’ dalam negara terus berpanjangan malah kini semakin kusut dan membimbangkan. Watak demi watak muncul ke permukaan. Terbaharu, nama Aminul Islam menjadi perhatian.

“Ia selepas disebut secara langsung oleh ahli perniagaan, Victor Chin, sebagai individu yang didakwa terlibat dalam jenayah mafia korporat kerana cubaan untuk mengambil alih NexG Berhad secara ‘mafia’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, situasi menjadi lebih serius apabila nama pengasas Bestinet, Aminul Islam turut disebut dalam konteks cubaan pengambilalihan itu.

Khairul Nadzir turut membangkitkan persoalan mengenai status Aminul Islam yang dilaporkan dikehendaki oleh Kerajaan Bangladesh atas dakwaan serius termasuk pengubahan wang haram dan pemerdagangan pekerja migran.

Beliau mempertikaikan tindakan kerajaan yang kelihatan tidak mengambil langkah tegas terhadap dakwaan tersebut.

“Adakah kerajaan memilih untuk bersikap ‘pekak badak’, atau sebenarnya ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan umum?,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast