SEKATAN Selat Hormuz yang digerakkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk mengekalkan tekanan terhadap Tehran, berunding dari kedudukan yang lebih kuat, dan memaksa Tehran memasuki rundingan dalam keadaan yang semakin lemah, sambil menutup talian hayat ekonominya.
Washington kini tidak lagi hanya menekan Iran dari udara. Ia sedang memasuki salah satu misi ketenteraan paling sukar, iaitu kawalan laut yang berterusan. Dari sudut praktikal, Tentera Laut AS berdepan dua tugasan yang saling berkait.
Pertama, menyekat pelabuhan Iran dan menghalang kapal daripada membawa masuk atau keluar barangan, bekalan, dan kargo tenaga. Kedua, mempertahankan ruang maritim sekitarnya daripada periuk api, peluru berpandu, dron, dan ancaman asimetri lain yang boleh menggugat sekatan jangka panjang itu.
Sekatan ialah strategi perang konvensional yang bertujuan memutuskan perdagangan dan bekalan sesebuah negara. Ia direka untuk menghalang kapal daripada memasuki atau meninggalkan pelabuhan, sekali gus menjejaskan hasil negara dan melemahkan daya tahannya ketika konflik.
Dalam kes Iran, kepentingannya amat besar. Pertaruhannya ialah kira-kira dua juta tong minyak sehari yang boleh dihalang daripada memasuki pasaran global, sekali gus menyempitkan lagi pilihan ekonomi Tehran.
Peperangan maritim bukan sekadar bergantung kepada kemusnahan fizikal, tetapi juga kepada rasa gusar dan gangguan. Keraguan serta kebimbangan terhadap risiko yang terlibat akan secara langsung menaikkan kos dan meningkatkan pertaruhan.
Sebab itu pilihan tindak balas Iran menjadi amat penting. Tehran tidak mungkin bertindak balas secara konvensional.
Sebaliknya, ia terus bergantung pada kapasiti asimetri yang berasaskan faktor geografi dan keupayaan laut yang masih dimilikinya, seperti bot serangan pantas, peluru berpandu, dron, sistem pertahanan pantai, dan periuk api laut, bagi mencabar demonstrasi kuasa maritim AS.
IRGC telah lama melabur dalam keupayaan tentera laut asimetri ini. Periuk api laut kekal sebagai senjata yang murah tetapi berbahaya dan sukar dikesan. Ia mewujudkan kebimbangan serta risiko kepada laluan perkapalan, lalu meningkatkan kos dan tekanan psikologi jauh sebelum ia meletup.
Ini sekali gus menambah beban operasi terhadap Tentera Laut AS. Jika periuk api wujud, atau walaupun sekadar disyaki wujud, misi itu menjadi jauh lebih sukar. Cabaran AS bukan sahaja menghalang kapal daripada berlabuh atau keluar dari pelabuhan Iran, tetapi juga memastikan perairan sekitarnya selamat untuk kapal-kapal lain.
Walaupun pembukaan semula Selat Hormuz sepenuhnya masih tertakluk kepada rundingan kedua ini, keadaan semasa masih berbentuk coercive bargaining, dibina atas pertimbangan menjaga maruah, imej kedaulatan, dan pengaruh yang masih ingin dipertahankan.
Washington pula sedang berusaha membuktikan kredibilitinya, memperlihatkan bahawa tindakannya selari dengan retorik amarannya, dan meluaskan capaian operasi supaya tekanan maritim itu benar-benar memberi kesan ekonomi.
Kuasa Tawar-menawar Tehran Semakin Terhakis
Walaupun Tehran mungkin tidak mampu memenangi perang konvensional, Iran hampir tidak pernah meninggalkan rundingan dengan tangan kosong. Ia telah lama mahir dalam melengahkan proses, merumitkan keadaan, memecah-belahkan lawan, dan bertahan lebih lama, atau sekurang-kurangnya memaksimumkan hasil terbaik daripada setiap rundingan.
Iran juga telah menguasai seni menjadikan masa sebagai aset strategik. Ia cenderung memberi konsesi paling minimum pada peringkat awal, sambil mengekalkan pengaruh yang cukup untuk memastikan syarat rundingan terus memihak kepadanya.
Namun dalam keadaan semasa, sekurang-kurangnya dari sudut ekonomi dan ketenteraan, Tehran kelihatan semakin sukar untuk mengekalkan strategi itu.
Tunjang utama kuasa tawar-menawarnya sedang terhakis. Pertama, keupayaan ketenteraan dan daya cegah rintangnya telah menjadi sasaran serangan Washington yang bertujuan melemahkan kapasiti dan pengaruhnya. Kini, komponen terakhir pengaruh Iran, iaitu kawalan ke atas Selat Hormuz, juga boleh menjadi semakin lemah jika Washington berjaya membuka laluan itu. Satu lagi baki pengaruh Iran, iaitu hak memperkayakan uranium, kini sedang dirundingkan dengan kemungkinan wujudnya pengekangan jangka panjang.
Matlamat Washington jelas, iaitu memastikan Tehran berunding dalam keadaan lemah dan tanpa lagi kapasiti tawar-menawar yang bermakna. Apabila sesebuah negara kehilangan ruang gerak ketenteraan, melihat ekonominya semakin tertekan, berdepan tekanan terhadap program strategiknya, dan mula kehilangan kawalan terhadap eskalasi di laut, pendirian diplomatiknya dijangka berubah.
Inilah kesan yang cuba dihasilkan oleh Washington.
Sebab itu kawalan terhadap Selat Hormuz menjadi kritikal. Ancaman serta keupayaan mengganggu perkapalan, aliran tenaga, kos insurans, dan keselamatan maritim telah memberi Iran satu bentuk pengaruh asimetri yang jauh melebihi kekuatan konvensionalnya. Iran tidak perlu menutup selat itu sepenuhnya untuk mendapat kelebihan. Ia hanya perlu mewujudkan persepsi bahawa ia mampu mengganggu laluan tersebut dengan serius.
Jika persepsi itu melemah, Iran bukan sahaja kehilangan satu pilihan taktikal, tetapi juga kehilangan pengaruh psikologi dan geopolitik. Apabila kad ini menjadi kurang meyakinkan, keupayaan Tehran untuk memaksa pihak lawan bertindak dengan lebih berhati-hati juga turut menyusut. Maka, sebarang usaha berterusan Tentera Laut Amerika untuk menjamin kebebasan pelayaran akan mengurangkan salah satu instrumen Iran yang paling penting.
Rundingan Nuklear yang Berisiko Tinggi
Buat masa ini, sekatan digunakan untuk memperhebatkan suasana tawar-menawar. Itulah sebabnya pusingan kedua rundingan akan menjadi sangat kritikal.
Ujian sebenar sekarang ialah sama ada kedua-dua pihak bersedia menerima ambang maksimum yang ditawarkan oleh pihak lawan, dan sama ada perkiraan kos dan manfaat dapat diterima oleh kedua-dua pihak.
Rundingan ini bukan sahaja berkisar soal objektif strategik utama, tetapi juga soal mencari jalan keluar yang adil dan menyelamatkan maruah, yang membolehkan kedua-dua pihak mendakwa mereka mempertahankan garis merah masing-masing.
Pendirian Tehran kelihatan hampir tidak boleh dirundingkan. Iran tidak mahu melepaskan benteng terakhirnya dan satu-satunya pengaruh besar yang masih berbaki, iaitu keupayaan memperkayakan uranium demi kelangsungan jangka panjangnya, sebagaimana Pyongyang juga tidak akan berbuat demikian.
Persoalannya kini ialah sama ada Washington akan terus berpegang pada tuntutan larangan kekal, atau menunjukkan pengekangan strategik demi mencapai jalan keluar yang lebih cepat sambil tetap mengekalkan naratif kemenangan dengan pendekatan lebih fleksibel.
Washington dilaporkan telah mengemukakan cadangan penggantungan aktiviti nuklear Iran selama 20 tahun, satu perubahan ketara daripada tuntutan maksimum sebelum ini yang mahukan larangan kekal. Tehran pula membalas dengan cadangan penghentian yang jauh lebih singkat, sekitar tiga hingga lima tahun.
Jurang itu sendiri menunjukkan bagaimana kedua-dua pihak melihat rundingan ini melalui lensa yang sangat berbeza. Amerika sedang berusaha menukar tekanan ketenteraan dan maritim kepada pengunduran strategik jangka panjang oleh Iran. Tehran pula cuba memastikan bahawa sebarang konsesi yang diberi bersifat sementara, boleh diundur semula, dan masih boleh dipertahankan dari sudut politik domestik.
Dari sudut Tehran, cadangan 20 tahun itu membawa kekangan besar. Ia akan melemahkan nilai cegah rintang Iran, dan tempohnya terlalu panjang dalam perspektif domestik Iran kerana ia akan dilihat sebagai pengorbanan hak nasional teras bagi seluruh satu generasi politik. Ia juga berisiko mewujudkan precedent bahawa Iran akhirnya menerima perjanjian di bawah tekanan yang selama ini ditentangnya selama berdekad-dekad, malah tempohnya lebih panjang daripada perjanjian era Obama.
Maka, pembekuan selama 20 tahun akan dibaca di Tehran sebagai pelucutan strategik secara beransur-ansur.
Itulah sebabnya tawaran balas Iran jauh lebih pendek, agar ia masih dapat mengekalkan naratif bahawa Iran berunding, tetapi tidak tunduk.
Iran kini juga perlu mencari imbangan jangka panjangnya: sama ada menunjukkan pengekangan strategik sekarang untuk meraih manfaat normalisasi, pelonggaran sekatan, dan mungkin juga pampasan tertentu, atau mengambil risiko konflik berpanjangan ketika keupayaan cegah rintang dan alat asimetrinya semakin berkurang.
Bagi Trump pula, tempoh yang lebih singkat daripada 10 tahun mungkin sukar diterima dari sudut politik, kerana ia boleh dilihat sebagai perjanjian yang lebih lemah daripada apa yang pernah dicapai di bawah Obama.
Walaupun IRGC telah memperlihatkan kesediaan menghadapi kemungkinan pencerobohan darat oleh Amerika, sebarang kemungkinan itu, jika benar berlaku, besar kemungkinan hanya melibatkan operasi pantas, terhad, dan bersifat bersasar untuk mendapatkan baki stok uranium.
Jika pusingan kedua ini gagal, Washington mungkin akan menggunakan kegagalan itu sebagai alasan untuk meneruskan serangan dan tekanan ekonomi.
Dividen Keamanan Mesti Menjadi Matlamat Akhir
Inilah sebabnya rundingan pusingan kedua ini penting. Terlalu banyak yang sedang dipertaruhkan. Pusingan pertama nampaknya telah mengenal pasti halangan-halangan sebenar dan menunjukkan adanya kemajuan. Pusingan kedua akan menguji sama ada kemajuan itu boleh diterjemahkan kepada penyelesaian jangka sederhana yang lebih konkrit, atau sekurang-kurangnya kepada lanjutan gencatan senjata bagi membuka ruang rundingan seterusnya.
Namun, menangguhkan atau melanjutkan rundingan terlalu lama juga membawa risiko. Ia akan melemahkan momentum serta proses membina keyakinan. Sebarang penangguhan boleh mengundang campur tangan dan pengaruh luar yang akhirnya menjejaskan keseluruhan proses damai.
Iran masih memiliki keupayaan mengganggu, keazaman ideologi, dan naluri kelangsungan hidup. Ia masih berupaya mencetuskan ketidakstabilan serta menyebabkan kesan ekonomi jangka panjang kepada Amerika.
Keadaan ini masih sangat boleh diselamatkan. Terdapat petunjuk yang semakin meyakinkan bahawa ruang diplomatik masih wujud. Pusingan kedua rundingan akan menjadi penentu sama ada kedua-dua pihak mampu menukar tekanan kepada jalan keluar yang boleh dilaksanakan, atau sebaliknya membiarkan ia berkembang menjadi peningkatan risiko yang lebih luas.
Risikonya memang tinggi, tetapi insentif untuk de-escalation and strategic restraint juga semakin bertambah. Dividen keamanan mesti kekal sebagai matlamat akhir kedua-dua pihak, kerana rantau ini dan dunia tidak mampu menanggung konflik yang lebih mendalam.
Dividen keamanan mesti diusahakan oleh kedua-dua pihak, kerana dunia memerlukannya.

COLLINS CHONG YEW KEAT
Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa
UNIVERSITI MALAYA
















