KUALA LUMPUR – Ratusan mangsa skim pelaburan mesin layan diri yang kerugian hampir RM13 juta menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mempercepatkan pendakwaan terhadap dalang terlibat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa telah mengemukakan rayuan kepada AGC selepas kes berkenaan didakwa masih belum menunjukkan perkembangan dari segi pendakwaan.
Menurutnya, skim itu menawarkan pulangan lumayan melalui operasi mesin layan diri dan mesin kopi, namun bayaran kepada pelabur gagal dilunaskan seperti dijanjikan.
Katanya, lebih membimbangkan apabila pelabur tidak mempunyai kawalan terhadap aset, malah kewujudan sebenar mesin berkenaan juga tidak dapat dipastikan sepenuhnya.
“Mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk warga emas dan penjawat awam. Ada yang menggunakan simpanan sendiri, wang KWSP serta membuat pinjaman untuk melabur,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, laporan telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan kesalahan penipuan, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Selain itu, ujarnya, aduan turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana syarikat terbabit didakwa gagal mendaftarkan skim di bawah Akta Skim Kepentingan 2016.
Katanya, siasatan juga mendapati tiada pemegang amanah dilantik serta ketiadaan akaun amanah bagi mengurus dana pelabur.
“Malah, pelaburan ini dikawal sepenuhnya oleh syarikat walaupun melibatkan dana awam, yang jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang,” katanya.
Hishamuddin berkata, walaupun arahan siasatan semula telah dikeluarkan dan dokumen tambahan diserahkan, sehingga kini masih tiada perkembangan berkaitan pendakwaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, mangsa berharap AGC memberi keutamaan kepada kes berkenaan agar tindakan tegas dapat diambil terhadap dalang.
“Mangsa hanya mahukan keadilan dan supaya pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – MalaysiaGazette














