Antara kontena e-waste yang dikesan dalam Ops Green Shield.

KUALA LUMPUR  -Malaysia menghantar semula 21 daripada 148 kontena sisa elektronik (e-waste) yang telah diperiksa ke negara asal menerusi Ops Green Shield.  

Komander Agensi Kawalan dan Pelindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi Operasi Fasa 1 mengikut peruntukkan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Operasi Fasa 2 pula, sebanyak 615 kontena kini dalam tindakan  yang merangkumi 131 kontena berada di bawah siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Manakala 121 kontena di bawah AKPS dan 372 kontena lagi melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang telah diperiksa pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya telah berjaya mengesan sebanyak 763 kontena sisa e-waste  menerusi pelaksanaan Ops Green Shield yang dilancarkan sejak 27 Februari lalu di Pelabuhan Klang.

Katanya, operasi bersepadu oleh Joint Task Force (JTF) e-waste itu dilihat sebagai langkah berterusan dalam melindungi kelestarian alam sekitar serta memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“JTF e-waste Pelabuhan Klang turut mengenal pasti empat syarikat perkapalan yang masih belum memberikan maklum balas berhubung 15 kontena yang terlibat.

“Surat peringatan akan dikeluarkan kepada pihak terlibat sekiranya gagal memberikan maklum balas selewat-lewatnya pada 2 Mei ini,” jelasnya.

Beliau berkata, tindakan lanjut termasuk pembekuan secara sementara akan diambil sehingga semua kontena terbabit dikeluarkan sepenuhnya.

Tegas Nik Ezanee, AKPS akan terus mempergiat pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang.

“Langkah itu selaras dengan pelaksaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa pada 1 April lalu menerusi pewartawaan Pemerintahan Kastam (Pindaan) (No 3) 2006,” ujarnya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast