JOHOR BAHRU – Notis Henti Kerja Serta Merta dikeluarkan terhadap dua pemaju yang menjadi punca kejadian banjir di beberapa kawasan di daerah ini dan Kulai.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, dua pemaju itu menjalankan projek pembangunan, namun gagal mematuhi keperluan teknikal serta kawalan saliran yang ditetapkan, sehingga mengakibatkan banjir kilat.
“Arahan henti kerja selama 14 hari dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat.
“Tindakan ini bertujuan menghentikan segera sebarang kerja pembinaan sehingga langkah pembetulan dan mitigasi dilaksanakan sepenuhnya bagi mengelakkan risiko berulang kepada penduduk setempat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohd Jafni berkata, walaupun kerajaan negeri sentiasa menyokong pembangunan yang mampu merancakkan ekonomi dan menarik pelaburan ke Johor, namun berpendirian jelas serta tidak berkompromi terhadap kepentingan dan keselamatan rakyat yang tidak boleh dikorbankan.
Tegasnya, sebarang bentuk pembangunan yang dijalankan di negeri ini mesti mematuhi sepenuhnya syarat teknikal yang ditetapkan termasuk aspek pengurusan saliran, sistem perparitan, kawalan hakisan serta pelaksanaan langkah mitigasi banjir yang berkesan.
“Saya ingin memberi amaran tegas kepada semua pemaju supaya sentiasa mematuhi segala garis panduan dan kelulusan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau menegaskan, mana-mana pembangunan yang menyebabkan kejadian banjir kilat akan diberikan notis berhenti kerja serta-merta selama 14 hari sehingga pelaksanaan mitigasi banjir selesai dan dijamin tidak berulang.
Jelasnya, pembangunan yang baik adalah pembangunan yang seimbang, berdaya tahan dan tidak menjejaskan kehidupan komuniti setempat.
Mohd Jafni berkata, Kerajaan Negeri melalui 16 PBT akan terus memperketat pemantauan di lapangan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang lebih tegas, termasuk menghentikan projek, mengenakan kompaun mahupun tindakan lanjut sekiranya berlaku pelanggaran syarat.
Katanya, kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap pembangunan di Johor dilaksanakan secara bertanggungjawab, mampan dan selaras dengan agenda Maju Johor yang mana keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.- MalaysiaGazette
















