KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang dilihat tidak sehaluan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi kini mencetuskan polemik baharu, sekali gus mengundang persoalan terhadap pendirian kerajaan negeri.
Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan Pas Selangor, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, isu itu timbul susulan titah baginda yang menyentuh pelbagai kelemahan di Selangor termasuk banjir, pengurusan sampah, jalan berlubang serta isu penternakan babi, yang sepatutnya dijadikan panduan untuk penambahbaikan pentadbiran negeri.
Namun, menurut beliau, keadaan bertukar panas apabila ADUN daripada DAP itu tampil menyuarakan pandangan yang dilihat tidak bersetuju dengan intipati titah tersebut, khususnya berkaitan penternakan babi.
“Sultan Selangor jelas sebut, bukan Tuanku larang korang nak makan babi. Tuanku arah tutup penternakan dan import untuk keperluan tempatan. Kau importlah banyak banyak dan makan. Takde sapa pun halang kau.
“Aku peliklah, kenapa DAP ni berani sangat dan bantah titah Sultan Selangor? Sebab seingat akulah, belum pernah terjadi ADUN atau Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan titah Tuanku Sultan atau Yang di-Pertuan Agong. Apa sebenarnya signal yang DAP nak tunjuk?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Hantaran itu susulan Siew Ki ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri agar memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di negeri berkenaan.
Menurutnya, cadangan tersebut mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Nurul Islam menyifatkan tindakan mempertikai secara terbuka titah Sultan sebagai sesuatu yang luar biasa dalam landskap politik negara yang selama ini menjunjung tinggi institusi diraja sebagai payung negeri.
Dalam masa sama, tekanan kini terarah kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menyatakan pendirian rasmi berhubung isu berkenaan yang semakin hangat diperkatakan.
“Kepada MB Selangor pula, Sultan Selangor dipertikaikan titah Baginda, what are you going to do? Tutup mulut takut kepada abang besar? Atau bersuara? Kalau MB Selangor tak kecam tindakan ADUN Kerajaan ni, pun kita boleh anggap MB Selangor bersetuju dengan kenyataan dia,” katanya lagi. — MalaysiaGazette
















