Ahmad melawat Projek Menaik Taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Projek naik taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru RM57.4 juta kini mencatatkan kemajuan sekitar 38 hingga 39 peratus setakat ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, projek itu dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kerja-kerja pembinaan projek ini yang bakal menjadi pusat penjagaan warga emas moden bermula pada 26 Jun 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada 5 Julai 2027.

“Setakat ini, kemajuan projek berada pada tahap 38 hingga 39 peratus berbanding sasaran jadual 39 peratus, iaitu sedikit lewat kurang daripada satu peratus sahaja dan masih dalam kawalan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Projek Menaik Taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru di hari ini.

Katanya, JKR yakin kontraktor yang dilantik, Sakiza Indah mampu mengejar semula kemajuan kerja-kerja terbabit bagi memastikan projek tersebut siap mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Apabila siap kelak, Rumah Seri Kenangan ini akan menjadi antara fasiliti penjagaan warga emas paling moden di Johor dan juga di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kompleks berkenaan akan menyediakan kemudahan lengkap termasuk blok pentadbiran, asrama, klinik, lobi, rumah jagaan serta blok sokongan.

Menurutnya, kapasiti penginapan yang disediakan mampu menempatkan seramai 260 penghuni melibatkan 130 lelaki dan 130 wanita.

Selain itu, Ahmad berkata, pembinaan kuarters Kelas D dan bangunan kediaman setinggi 10 tingkat turut dirancang bagi menempatkan kakitangan serta menyokong operasi fasiliti tersebut.

Projek tersebut sebelum ini merupakan pembangunan berskala kecil, namun kini diperluaskan menjadi sebuah kompleks yang lebih besar dan komprehensif.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kemudahan kebajikan khususnya kepada golongan warga emas yang memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

Beliau menambah, dengan kemajuan semasa yang positif, projek Rumah Seri Kenangan Johor Bahru dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027 dan bakal menjadi penanda aras baharu dalam penyediaan fasiliti kebajikan di negara ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast