KUALA LUMPUR – Peluang melanjutkan pengajian ke luar negara kini semakin terbuka luas apabila pameran pendidikan Study In Turkiye tampil agresif menarik minat pelajar Malaysia meneroka sistem pendidikan bertaraf antarabangsa di negara itu.
Inisiatif yang digerakkan oleh SIT Connect bersama SIT Connect Asia itu dilihat bukan sekadar platform promosi sebaliknya menjadi jambatan strategik yang menghubungkan institusi pengajian tinggi Malaysia dengan universiti terkemuka di Turkiye.
Ketua Pegawai Eksekutif SIT Connect Asia, Hidayati Md Nor berkata, pameran tersebut menghimpunkan lebih 15 universiti dari Turkiye dalam siri jelajah merentasi beberapa lokasi utama di rantau ini.
Menurut beliau, Kuala Lumpur menjadi lokasi pembuka tirai pada 28 April, diikuti Pulau Pinang (30 April), Brunei (2 Mei) dan Singapura (4 Mei).
“Objektif utama penganjuran ini adalah membuka ruang interaksi secara langsung antara pelajar, ibu bapa serta institusi tempatan dengan wakil universiti dari Turkiye,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.
Tambah Hidayati, pendekatan secara bersemuka itu penting bagi memberi kefahaman lebih jelas tentang peluang pengajian yang ditawarkan.
“Ini bukan sekadar pameran biasa tetapi platform untuk bertanya secara terus mengenai kursus, yuran, biasiswa dan kehidupan sebagai pelajar di sana,” jelas beliau.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Presiden SIT Connect Asia, Datuk Mokhtar Ismail, wakil SIT Connect, Mahmoud Darwish serta Pengurus Operasi SIT Connect, Mohamed AboSaif.
Dalam perkembangan sama, Hidayati mendedahkan, pihaknya menyasarkan seramai 10,000 pelajar Malaysia dan rantau ini melanjutkan pengajian ke Turkiye menjelang tahun 2030.

Katanya, ketika ini jumlah pelajar Malaysia di negara berkenaan masih rendah iaitu sekitar 324 orang, sekali gus menunjukkan potensi pertumbuhan yang amat besar.
Sementara itu, Mahmoud Darwish pula menjelaskan, pemilihan Malaysia sebagai salah satu lokasi utama pameran adalah berdasarkan reputasinya sebagai hab pendidikan di Asia Tenggara.
“Malaysia mempunyai ekosistem pendidikan yang matang dan progresif. Kami melihat potensi besar untuk kerjasama dua hala termasuk pertukaran pelajar dan tenaga akademik,” katanya.
Beliau turut menekankan Turkiye menawarkan pengalaman pembelajaran unik dengan kehadiran pelajar antarabangsa dari lebih 50 negara.
Selain itu, universiti di negara tersebut menyediakan ribuan program akademik berkualiti tinggi yang diiktiraf di peringkat global, khususnya di Eropah.
“Turkiye juga merupakan pintu masuk ke Eropah. Pelajar berpeluang menyertai program mobiliti seperti Erasmus+ tanpa kos tambahan,” tambahnya.
Daripada aspek kewangan, peluang biasiswa menjadi antara tarikan utama apabila pelajar berpotensi menerima tajaan sehingga 90 hingga 100 peratus bergantung kepada kelayakan masing-masing.
Dalam pada itu, alumni Turkiye, Lina Shazlina Ahmad Adni berkongsi pengalaman peribadi sepanjang menuntut di negara tersebut.
Menurutnya, kehidupan sebagai pelajar di Turkiye bukan sahaja memperkukuh akademik malah membentuk jati diri dan kematangan.
“Selain pendidikan, kita belajar tentang budaya, berdikari dan menjadi duta kecil Malaysia di luar negara,” katanya.
Beliau turut memuji kemudahan makanan halal serta sikap masyarakat Turkiye yang mesra dan terbuka terhadap pelajar antarabangsa.
“Pengalaman tinggal di negara empat musim dengan kepelbagaian landskap menjadikan proses pembelajaran lebih seimbang antara akademik dan kehidupan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















