Logo Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2022.
Logo Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Usaha mempolitikkan Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) dikhuatiri menjejaskan kemajuan besar yang telah dicapai dalam memperkukuh tadbir urus, kecekapan dan ketelusan pengurusan pengambilan pekerja asing di negara ini.

Pengerusi Persatuan Peniaga Mikro Malaysia (MAMBA), Tan Peng Beng, berkata pelaksanaan FWCMS serta pendigitalan menyeluruh yang digerakkan Bestinet Sdn Bhd berjaya menangani kelemahan sistemik yang sekian lama membelenggu ekosistem tersebut.

“Peralihan daripada proses manual yang berpecah-pecah kepada platform digital berpusat telah menyelesaikan banyak ketidakcekapan dan kebocoran yang sebelum ini membuka ruang kepada penyalahgunaan, kelewatan dan ketidaktelusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Peng Beng berkata kritikan terhadap FWCMS ketika ini dilihat tidak mencerminkan perbahasan dasar secara objektif, sebaliknya didakwa bermotifkan kepentingan politik yang boleh mengganggu usaha penambahbaikan berterusan.

Menurutnya, sebagai wakil sektor peniaga mikro yang bergantung kepada tenaga kerja migran dalam pelbagai industri termasuk makanan dan minuman serta perkhidmatan keselamatan, manfaat sistem itu dirasai secara langsung.

“Bagi kebanyakan majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), keupayaan untuk berurusan melalui sistem yang lebih tersusun dan bertanggungjawab amat penting dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan,” tambahnya.

Peng Beng turut menegaskan FWCMS telah beroperasi merentasi lima pentadbiran kerajaan berbeza dimana satu rekod yang membuktikan ketahanan serta kerelevanan sistem tersebut dalam jangka panjang.

“Sangat sedikit sistem yang mampu menunjukkan kesinambungan dan kerelevanan merentasi pelbagai pentadbiran kerajaan. Perkara ini sahaja sudah cukup membuktikan ketahanan sistem dan nilai institusinya,” katanya.

Bestinet sebelum ini menegaskan sistem FWCMS yang dibangunkan syarikat itu berjaya memecahkan kartel serta menutup ruang eksploitasi dalam pengurusan pekerja asing, sekali gus meningkatkan integriti keseluruhan sistem. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast