James Chai.

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya kira-kira pukul 9.50 pagi tadi, untuk diambil keterangan.

Difahamkan, James Chai yang juga penganalisis politik itu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pelaburan ARM yang bernilai RM1.12 bilion.

Sebelum ini, SPRM berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes itu.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata, pihaknya juga bersedia untuk menanggung kos James Chai untuk pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.

Tegas SPRM, jika James Chai masih gagal hadir setelah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali, suruhanjaya itu akan mempertimbang mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa termasuk Interpol atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.

“Pada 4 Mac 2026, SPRM telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan beliau.

“Susulan itu, SPRM menerima surat daripada Tetuan beliau bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

“SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026, memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir,” kata SPRM dalam kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, SPRM memaklumkan setakat ini 17 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan, melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

SPRM juga telah mengambil dokumen penting termasuk perjanjian dan dokumen sokongan, dan dijangka merakam percakapan lapan lagi saksi, termasuk individu yang berada di luar negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast