Fahmi yang juga bekas Exco Agroteknologi, Sekuriti Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri tiba di kompleks mahkamah Balik Pulau bersama isterinya kira-kira jam 8.50 pagi.

BALIK PULAU – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 18 Ogos depan untuk perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, pada Februari lalu.

Majistret Chia Huey Ting turut menetapkan 14 Mei bagi penyerahan dokumen termasuk laporan perubatan berkaitan kes berkenaan.

Terdahulu, peguam bela, Dr Shamsher Singh Thind memohon supaya prosiding kes tidak lagi ditangguhkan, dengan menyatakan penangguhan selama dua bulan sebelum ini sudah terlalu lama.

Menurutnya, pengadu telah membuat dua laporan polis sebelum dan selepas kejadian, selain terdapat cubaan untuk menarik balik laporan berkenaan, namun menegaskan pengadu kekal sebagai saksi utama pendakwaan.

Beliau turut menyifatkan kes itu sebagai pertikaian rumah tangga dan penyelesaian segera boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly memaklumkan laporan perubatan dijangka siap dalam tempoh seminggu.

Mahkamah mengekalkan tarikh 14 Mei untuk penyerahan dokumen dan 18 Ogos bagi perbicaraan, selain mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan semua dokumen berkaitan dalam tempoh tersebut.

Terdahulu, Fahmi yang juga bekas Exco Agroteknologi, Sekuriti Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri tiba di kompleks mahkamah Balik Pulau bersama isterinya kira-kira jam 8.50 pagi.

Media pada 27 Februari lalu melaporkan Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35.

Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira jam 10 malam, 22 Februari lalu di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman lebih berat jika kesalahan dilakukan terhadap pasangan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast