PETALING JAYA – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki perlu diusir keluar dari Selangor susulan kebiadabannya mempersoalkan titah Sultan Sharafuddin mengenai larangan penternakan babi di negeri itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar berkata, tindakan tegas dan keras perlu diambil terhadap wakil rakyat DAP itu kerana berjaya meniupkan api kebencian terhadap institusi diraja itu.
“Kita menggesa pihak polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta apa-apa peruntukan undang-undang lain terlibat.
“Kalau boleh mana-mana pihak yang tidak boleh terima titah Sultan Selangor, keluar dari Selangor, jangan tinggal dalam Selangor, jangan cari rezeki dalam Selangor, keluar dari Selangor.
“Dalam pembentukan kerajaan negeri keutamaan ialah keharmonian dan kemakmuran, kalau asas itu tidak boleh dipegang, tak perlulah menikmati kemakmuran dalam Selangor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap pentadbir akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Center didakwa membuat hantaran yang menghina Sultan Selangor serta gambar babi yang memakai pakaian kuning diraja.
Penularan gambar jelik yang menghina Sultan Sharafuddin itu timbul selepas Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan itu semasa membahaskan titah Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Selain itu, A’zlan turut mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari membawa usul penggantungan ADUN Seri Kembangan itu dari sidang Dewan Negeri Selangor dan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Menteri Besar jangan terus dilihat lembik dengan membiarkan Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor derhaka kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















