Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman menerusi platform media sosial Facebook. Gambar: Ihsan MCMC.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau, Sabah hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman menerusi Facebook pada 22 Disember 2025.

Tertuduh, Mohamad Azri Sahlam, 41, membuat pengakuan itu selepas didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menggunakan akaun Facebook miliknya untuk memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau.

Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh telah menjelaskan denda yang dikenakan.

Hukuman tersebut dijatuhkan mengikut Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Menurutnya, perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman, malah berpotensi menggugat ketenteraman dan keharmonian awam.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta bebas daripada penyalahgunaan yang boleh mencetuskan keresahan masyarakat.

MCMC turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kesalahan seumpama itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast