Hanifuddin Roslan

KIUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang yang dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak.

Sambil melahirkan rasa kesa, Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Katanya, merujuk kepada Bayan Linnas Siri Ke-351 bertajuk “Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan” oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak.

Namun, ujarnya, hiburan tersebut hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

“JAWI akan meneruskan pelaksanaan program-program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di medsos dan khutbah Jumaat berkaitan kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri dari terlibat dalam program-program yang berunsur maksiat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, JAWI akan menganjurkan bacaan Yasin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas solat Maghrib hari ini bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya.

“JAWI juga memohon kerjasama semua pihak agar memastikan sebarang penganjuran program berbentuk hiburan tidak mempunyai unsur-unsur yang bolel menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar,” katanya.

Festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026 yang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa akan berlangsung bermula hari ini hingga 2 Mei depan.

Acara berskala besar itu dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan konsep unik yang menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast