Mohd Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa DAP takut sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan susulan kemelut politik di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu menegaskan, parti berkenaan sewajarnya tidak mempertahankan kerajaan Negeri Sembilan yang kini berstatus kerajaan minoriti.

“Sepatutnya PH (Pakatan Harapan) khususnya DAP sebagai pendokong demokrasi rasa malu kerana mempertahan kerajaan minoriti. Isunya ialah, kenapa takut bubar DUN,” soalnya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, dalam isu tersebut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak setuju penubuhan kerajaan baharu melalui ‘tebuk atap’.

“Tiada yang mengejutkan terhadap pendedahan Loke itu,” katanya sinis.

Beliau menjelaskan, pendirian 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dalam kemelut tersebut adalah jelas.

“Sudah dicakap banyak kali. Ia bukan bertujuan untuk tubuh kerajaan tebuk atap. Mereka cuma hilang kepercayaan terhadap (Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri) Aminuddin Harun.

Puad juga mempersoalkan apa bezanya dengan DAP yang akan meletak jawatan menteri dalam Kerajaan Madani.

“Tidakkah itu juga hilang kepercayaan kepada PMX? Ia boleh menyebabkan PRU (pilihan raya umum) mesti diadakan untuk tubuh kerajaan baru. PMX cukup bimbang dia hilang kuasa,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bersama-sama 14 ADUN UMNO mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri.

Terkini kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kekal sah pada ketika ini selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, agar pentadbiran negeri diteruskan seperti biasa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast