KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan meluahkan rasa kecewa kerana segala usaha beliau mempertahankan Kerajaan Perpaduan di negeri itu selama lebih dua tahun tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh menteri besar.
Pengerusi badan perhubungannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pelbagai platform media sosial seperti TikTok dan YouTube digunakan untuk menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat.
“Saya turun ke platform orang kampung, bercakap dalam pentas UMNO, menjelaskan bahawa UMNO tidak perlu takut kepada DAP dalam kerajaan.
“Saya juga mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara terbuka walaupun berdepan kritikan rakyat termasuk isu kenaikan harga minyak,” katanya berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga menegaskan, pendirian tersebut diambil demi menghormati keputusan kepimpinan pusat yang membentuk kerajaan perpaduan dengan matlamat memastikan kestabilan politik serta kesinambungan khidmat kepada rakyat.
“Saya telah bekerja lebih dua tahun setengah, mempertahankan dasar kerajaan negeri dan mengangkat martabat pentadbiran negeri. Tetapi apa yang saya lakukan seakan tidak dinilai,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menafikan sebarang dakwaan wujud gerakan ‘tebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan negeri.
“Apa itu tebuk atap? Ia berlaku kalau kita tidak berada dalam kerajaan dan cuba bentuk kerajaan baharu. Saya ini berada dalam kerajaan, Exco kanan, ada peruntukan, ada tanggungjawab. Jadi kenapa timbul isu sebegitu?” soalnya.
Selain itu, katanya, tiada sebarang tindakan boikot terhadap projek kerajaan negeri oleh mana-mana Exco seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Tempoh pentadbiran kerajaan negeri kini berbaki kira-kira satu hingga dua tahun sebelum pilihan raya akan datang, justeru semua pihak perlu memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Namun, dalam masa sama kita tidak boleh berkompromi jika ada kegagalan dalam mengurus krisis yang memberi kesan kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















