MELAKA – Kerajaan negeri akan melakukan siasatan terhadap warden asrama serta memperketat tapisan kemasukan pelajar bermasalah susulan kes buli di sebuah rumah anak yatim di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, minggu lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, siasatan termasuk meneliti bagaimana insiden tersebut boleh berlaku di asrama yang menempatkan 38 pelajar lelaki berusia antara sembilan hingga 16 tahun itu.

Menurutnya, pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga telah diarahkan memperhalusi semula kaedah kemasukan pelajar.

“Rumah anak yatim ini bukan sahaja menempatkan anak yatim, tetapi juga pelajar daripada keluarga bermasalah dan keluarga miskin.

“Biasanya kemasukan pelajar daripada latar belakang keluarga bermasalah ini antara faktor yang boleh mencetuskan isu disiplin, justeru kita akan perketatkan proses saringan selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini

Tambahnya, selain daripada itu, pihak pengurusan termasuk warden asrama yang dilantik di bawah MAIM serta kakitangan berkaitan tidak terkecuali daripada tindakan siasatan.

“Kita juga akan mengambil tindakan siasatan terhadap warden asrama mengenai bagaimana kes ini boleh berlaku.

“Turut akan dilakukan ialah langkah penambahbaikan termasuk program kesedaran kepada pelajar serta pemeriksaan mengejut (spot check) secara berkala di asrama,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/05/02/empat-pelajar-asrama-anak-yatim-di-melaka-ditahan-kes-buli-junior/

Tegas Rahmad lagi, turut dilakukan ialah dengan mewujudkan peti aduan di asrama supaya pelajar boleh membuat aduan secara sulit jika berlaku sebarang masalah,

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan mangsa yang terlibat dalam kejadian itu telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital, manakala ibu mangsa memutuskan untuk mengeluarkan anaknya daripada rumah anak yatim berkenaan.

“Pelajar itu telah tinggal di situ sejak 2024 dan kini berada dalam jagaan keluarga,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan empat pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun yang ditahan polis kerana dipercayai membuli seorang penghuni berusia 12 tahun di rumah anak yatim berkenaan.

Kesemua empat pelajar terbabit dipercayai memukul, menendang serta merendam kepala mangsa ke dalam baldi berisi air dalam kejadian pada 27 April lalu.

Mangsa membuat aduan pada keesokan harinya sebelum laporan polis dibuat pada 29 April. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast