KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengakui kesilapan lalu serta tampil dengan pendekatan baharu sekiranya mahu mengembalikan keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha lebih besar perlu digerakkan bagi memulihkan sokongan masyarakat yang dilihat masih belum kembali sepenuhnya kepada UMNO.

Beliau berkata, UMNO tidak boleh sekadar bergantung kepada naratif lama atau berharap rakyat menerima semula tanpa perubahan yang jelas.

“Mengakui kesilapan itu penting, tetapi ia hanya langkah pertama.

“Selepas itu, kita perlu memperkenalkan diri semula kepada rakyat, khususnya pengundi yang mungkin telah hilang kepercayaan,” katanya kepada pemberita seusai Konvensyen 80 Tahun UMNO, di sini, hari ini.

Khairy juga menegaskan UMNO juga perlu lebih merendah diri, selain membina set idea dan tawaran baharu yang relevan dengan kehendak semasa rakyat.

“Tidak cukup untuk kita berkata kita pernah buat silap, kemudian minta rakyat pilih semula.

“Kita perlu buktikan apa yang boleh kita tawarkan jika diberi peluang mentadbir semula,” ujarnya.

Beliau mengakui perjalanan untuk memulihkan sokongan rakyat masih panjang, meskipun terdapat perkembangan positif termasuk peningkatan penyertaan golongan muda dalam parti sejak pelaksanaan pendaftaran dalam talian.

“Tempoh kira-kira satu setengah tahun sebelum PRU16 perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh strategi parti, khususnya dalam membina semula keyakinan rakyat,” katanya.

Mengulas prestasi semasa, Khairy berpandangan UMNO kini berada dalam kedudukan lebih baik berbanding beberapa parti lain, selain mendakwa pentadbiran melibatkan UMNO tidak terpalit dengan skandal besar kebelakangan ini.

Tambahnya, prestasi kerajaan negeri yang ditadbir atau disertai UMNO seperti Johor, Melaka dan Pahang juga boleh dijadikan contoh dalam membina naratif kestabilan dan keupayaan mentadbir.

“Jika kita dapat gabungkan faktor pengalaman, kestabilan dan prestasi, saya yakin ia mampu menarik semula sokongan rakyat terhadap UMNO,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh soal dinamika politik di peringkat negeri, termasuk keperluan menentukan sokongan melalui mekanisme seperti usul percaya atau tidak percaya di Dewan Undangan Negeri bagi memastikan legitimasi kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan akhir tetap bergantung kepada kepimpinan negeri dan peruntukan Perlembagaan.

“Yang penting, proses itu mesti telus dan mendapat penerimaan semua pihak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam parti ketika ini, namun diberikan tanggungjawab tertentu untuk membantu memperkukuh aspek tertentu dalam UMNO.

“Saya memilih untuk tidak memegang jawatan rasmi buat masa ini, tetapi akan membantu dalam perkara-perkara spesifik yang diminta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast