Sesi temu bual bersama Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican pada program Skop MG di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih sah dan selamat dari sudut perundangan buat masa ini, meskipun pentadbiran beliau kini sedang diuji dengan kemelut legitimasi yang melibatkan institusi adat dan penarikan sokongan politik.

Peguam kanan, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, dari sudut undang-undang, status Menteri Besar belum terjejas secara rasmi, namun beliau kini memimpin dalam keadaan yang amat mencabar.

“Walaupun secara perundangan jawatan itu masih kekal, wujud polemik besar apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah pun ‘menetapkan’ bahawa Menteri Besar tidak lagi layak untuk memegang jawatan tersebut.

“Beliau masih Menteri Besar yang memegang satu sokongan minoriti di dalam dewan,” katanya menerusi program SKOP MG.

Sesi temu bual bersama peguam yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican pada program Skop MG di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 MEI 2026.

Beliau berkata, isu utama yang perlu dirungkaikan secara tuntas bukanlah sekadar populariti politik, tetapi isu punca kuasa dan legitimasi tindakan yang melibatkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Luak Sungai Ujung.

“Bagi mengelakkan kebuntuan ini terus berlarutan, ada dua mekanisme penyelesaian iaitu yang pertama perkara ini perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

“Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri perlu membawa perkara ini kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan penafsiran rasmi mengenai Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan melalui pihak yang neutral.

“Keduanya adalah kompromi politik (status quo) di mana Yang di-Pertuan Besar kekal di takhta dan Undang Luak Sungai Ujung dikembalikan ke jawatannya tanpa sebarang tindakan pemecatan susulan sehingga habis penggal kerajaan demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Jelasnya, dua cara itu perlu dipilih bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku sejak dua minggu yang lalu.

Dalam pada itu, Hasnal juga menyangkal dakwaan yang mengaitkan penarikan sokongan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) sebagai cubaan ‘tebuk atap’ atau perebutan kuasa.

“Tindakan ADUN BN melepaskan jawatan Exco untuk menjadi ADUN biasa adalah bukti jelas mereka melepaskan kuasa dan bukannya mengejar jawatan.

“Apa yang tebuk atap? Mereka tidak kata sedang berusaha untuk membuat kerajaan yang baharu,” katanya lagi.

Tambahnya, isu itu perlu diselesaikan dengan penuh wibawa dan berhemah bagi memastikan kelancaran khidmat kerajaan kepada rakyat tidak terganggu.

“Saya lihat pendirian tegas yang diambil oleh UMNO Negeri Sembilan berhubung kemelut politik di negeri itu mendapat sokongan padu dan restu daripada para peserta yang hadir ke Konvensyen UMNO ke-80.

“Saya rasa pendirian yang dibuat oleh UMNO Negeri Sembilan itu diraikan oleh para peserta konvensyen yang hadir di WTC Kuala Lumpur. Kalau kita tengok tindakan Datuk Jalal (Datuk Seri Jalaludin Alias ) itu sebenarnya seolah-olah disokong dan mendapat restu daripada para peserta konvensyen,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ahli-ahli UMNO memahami keperluan untuk memelihara keamanan politik di kedua-dua peringkat, namun pada masa yang sama menyokong langkah berani yang diambil di Negeri Sembilan bagi mengelakkan kemelut yang lebih parah.

“Semua benda ini dibuat secara tertib supaya tidak berlaku kemelut yang bukan-bukan.

“Langkah ini dilihat sebagai isyarat jelas mengenai solidariti akar umbi terhadap kepimpinan negeri dalam mengendalikan isu sensitif yang melibatkan legitimasi dan kedaulatan institusi di Negeri Sembilan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast