ISKANDAR PUTERI – DAP mensasarkan kira-kira 80 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, apabila ramai keluar mengundi akan membantu menjadi penentu masa depan negara.
“Musim pilihan raya semakin dekat. Semua warga Malaysia patut keluar mengundi beramai-ramai bagi meneruskan pengukuhan demokrasi di negara kita.
“Di sesetengah negara seperti Australia, mengundi adalah wajib dan ada yang berpendapat bahawa apabila mengundi diwajibkan, ia dapat menghalang kebangkitan politik populisme berpecah-belah ala Donald Trump.
“Apabila peratus keluar mengundi tinggi, seperti dalam PRU-13, PRU-14, dan PRU-15, ia menjadi penentu kepada masa hadapan Malaysia,” katanya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan-cawangan DAP Iskandar Puteri dan Pulai di sini semalam.
Beliau memberitahu, dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013, terdapat 13.27 juta pengundi berdatar, daripada jumlah itu kira-kira 11.2 juta atau 84.84 peratus keluar mengundi.
Katanya yang juga Timbalan Menteri Kewangan, jumlah tersebut sangat besar manakala dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, terdapat 14.94 juta pengundi berdaftar dan 82.32 peratus keluar mengundi.
Sementara dalam PRU-15 pada pada 19 November 2022, Chin Tong memaklumkan, terdapat 21.17 juta pengundi dan 74.13 peratus mengundi keluar mengundi.
“Walaupun peratusannya rendah sedikit berbanding PRU-14, jumlahnya merupakan paling besar dalam sejarah pilihan raya Malaysia iaitu 15.5 juta orang keluar mengundi.
“Angka yang besar ini merupakan kesan daripada pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran pengundi secara automatik yang menambah jumlah pengundi sebanyak 6.2 juta orang,” katanya.
Jelasnya, pada tahun ini pula setakat Februari lalu, jumlah pengundi adalah 22.11 juta pengundi.
“Kita perlu gigih berusaha untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus atau 17.68 juta orang keluar mengundi pada PRU-16 nanti,” katanya.
Menurutnya, peratus keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022 adalah 54.92 peratus manakala yang mengundi di Johor pada PRU-15 adalah 73 peratus.
“Apa yang menarik adalah pada PRN Johor Mac 2022, Barisan Nasional (BN) mendapat 599,753 atau 43.11 peratus undi manakala pada PRU November 2022, BN mendapat 598,244 atau 30.64 peratus undi,” ujarnya.
“Melihat kepada jumlah undi yang diperoleh, tiada sebarang perubahan sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Jumlah undinya sama sahaja,” katanya.
BN, katanya, hanya mendapat kurang 1,509 undi berbanding PRN, Perikatan Nasional (PN) pula mendapat 334,457 atau 24.04 peratus undi pada PRN Mac dan 519,661 atau 26.62 peratus undi dalam PRU pada November, iaitu bertambah 185,204 undi.
Gabungan yang mencatatkan kejayaan besar, katanya, adalah Pakatan Harapan (PH).
“Kita mendapat 367,525 atau 26.42 peratus undi pada PRN Mac, dan pada PRU November pula, PH memperolehi 825,182 atau 42.26 peratus undi, iaitu bertambah 457,657 undi.
“Apabila PRU atau PRN diadakan nanti, ia merupakan penentuan sama ada kita mahu jalan terus untuk terus maju atau berundur ke belakang,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















