ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor sedia mempertimbangkan rayuan mereka yang dikesan tercicir daripada senarai menerima inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan rayuan itu dan di peringkat ICT@Johor dengan memastikannya dapat dikemukakan melalui pihak berkaitan.
“ICT juga hendak memastikan selain daripada keciciran, kita juga mahu memastikan tidak ada pertindihan. Selain keciciran, kerajaan negeri menerusi ICT@Johor juga sentiasa memastikan tiada sebarang pertindihan dalam senarai penerima manfaat BKJ itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Onn Hafiz (BN-Machap) menjawab soalan tambahan Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) yang bertanya adakah kerajaan negeri akan mempertimbangkan sebarang rayuan sekiranya terdapat atau berlakunya keciciran dalam senarai BKJ bagi fasa keempat dan bagaimana mekanisme rayuan berkenaan.
Terdahulu, Onn Hafiz mengumumkan BKJ fasa keempat dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM138 juta yang dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor meliputi 22 inisiatif.
Pada masa sama, beliau berkata, bagi BKJ fasa keempat, kerajaan negeri mendapat maklumat terperinci dan data melalui Exco yang bertanggungjawab dan juga agensi dan jabatan yang terbabit.
“Itu cara kita mendapatkan maklumat. Sebagai contoh, bagi kategori anak yatim, kita dapat data daripada Exco Hal Ehwal Agama Islam dan juga daripada Exco yang menjaga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk untuk kategori orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
“Kita juga mendapat bantuan daripada pegawai-pegawai daerah yang sentiasa membuat koordinasi dan jika diikutkan, sebahagian besar daripada data atau maklumat (penerima BKJ), kita sudah terima,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















