KUALA LUMPUR — Kontroversi pemindahan tiga ekor gajah yang dinamakan Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Taiping & Night Safari ke Zoo Tennoji, Osaka Jepun semakin hangat apabila timbul persoalan serius terhadap ketelusan dan akauntabiliti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Perkara itu dibangkitkan wakil Perikatan Nasional (PN) Parlimen Taiping, Maizatulazwa Abdul Rahim yang mempersoalkan kenyataan Menteri, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, yang didakwa tidak mengetahui proses pemindahan berkenaan.
Menurutnya, alasan tersebut sukar diterima memandangkan isu melibatkan hidupan liar dan imej negara sepatutnya berada dalam pengetahuan penuh kementerian.
“Seharusnya pekara besar sebegini mestilah di bawah pengetahuan menteri malah jawapan diberikan tidak bertanggungjawab dan cubaan melepaskan tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih mengejutkan, Maizatulazwa berkata, hasil semakan dokumen mendapati permit khas untuk mengeksport gajah telah dikeluarkan seawal 2 Januari lalu, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kesahihan dan kerelevanan penggunaan dokumen lama bagi proses semasa.
“Dokumen itu juga menyatakan bahawa lawatan dan penilaian tapak hanya dilakukan pada 6 Oktober 2022 dan tiada penilaian baharu terkini yang dibuat sebelum gajah-gajah kita dihantar seperti mana yang dinyatakan dalam dokumen NRES.
“Yang paling mengecewakan manfaat kerjasama ini adalah untuk memperluas kepelbagaiaan genetik populasi gajah dalam kurungan dan sejak bila Jepun mempunyai spesies gajah?” soal Maizatulazwa.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan ketiadaan penilaian terkini apabila lawatan tapak dan penilaian terakhir hanya dilakukan pada 6 Oktober 2022 sebelum pemindahan dibuat.
Menurutnya lagi, alasan kerjasama untuk memperluas kepelbagaian genetik populasi gajah dalam kurungan juga mengundang persoalan memandangkan Jepun bukan habitat semula jadi spesies tersebut.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak zoo terlibat mendedahkan dokumen terperinci bagi memastikan pematuhan standard kebajikan antarabangsa.
Penghujung April lalu, Arthur Joseph menegaskan bahawa NRES berpandangan cadangan membawa pulang tiga gajah Malaysia Dara, Amoi dan Kelat dari Jepun mempunyai asas kukuh, khususnya apabila melibatkan kepentingan awam dan sensitiviti semasa rakyat Malaysia.
Menurut beliau, Zoo Taiping & Night Safari disaran untuk memulakan rundingan dengan Zoo Tennoji bagi menilai keperluan serta mekanisme terbaik untuk membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut ke tanah air memandangkan kedua-dua zoo berkenaan adalah pihak yang mempunyai obligasi kontraktual.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Perhilitan serta semakan silang dengan ZTNS, kerjasama strategik antara kedua-dua zoo itu dimeterai melalui dua perjanjian pada 19 Mei 2022 dan 6 Oktober 2022.
“Kementerian bukan pihak yang menandatangani perjanjian tersebut. Perjanjian berkaitan pemindahan ketiga-tiga gajah ini dimeterai secara langsung antara ZTNS dan Tennoji Zoo Osaka melalui kaedah perniagaan antara perniagaan,” katanya.
NRES sebelum ini memanjangkan memorandum yang diserahkan sekumpulan aktivis dan NGO bagi membawa pulang `DAK’ kepada ZTNS untuk diteliti serta diperhalusi kerana perkara itu di bawah bidang kuasa pihak pengurusan zoo berkenaan. – MalaysiaGazette
















