Tangkap layar video tular kejadian curi gelang emas di Temerloh.

KUANTAN – Polis berjaya menahan dua lelaki disyaki terlibat melarikan gelang emas bernilai RM5,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Ahmad Shah, Temerloh dalam kejadian pada 27 April lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kedua-dua mereka kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh berjaya menahan suspek pertama berusia 46 tahun di Arau, Perlis kira-kira jam 11.50 pagi semalam.

“Suspek kedua berusia 42 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Perumahan Makmur Hijrah Jaya 4, di Kuantan pada 10.45 malam hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nasyim, hasil semakan mendapati, suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah dan 13 rekod jenayah narkotik manakala suspek kedua mempunyai sembilan rekod jenayah dan 13 rekod jenayah narkotik.

Terdahulu, media melaporkan kejadian itu selepas tular beberapa video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan detik-detik suspek melarikan barang kemas itu dimuat naik dan dikongsi di beberapa platform media sosial.

Kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam kedai sebelum didatangi lelaki terbabit berpura-pura sebagai pelanggan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast