Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih, Datuk N Sivakumar menggesa kerajaan melaksanakan tindakan lebih keras dan luar biasa bagi menangani isu pemanduan mabuk yang disifatkan semakin membimbangkan serta berulang saban tahun tanpa penyelesaian berkesan.

Beliau berkata, tragedi terbaru di Jalan Ampang kelmarin yang meragut nyawa sepasang suami isteri sehingga menyebabkan tiga anak mereka menjadi yatim piatu membuktikan pendekatan sedia ada masih lemah dan gagal memberi pengajaran kepada pesalah.

Menurutnya, beliau sebelum ini sudah berkali-kali menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes pemandu mabuk selain mengemukakan pelbagai cadangan kepada kerajaan dan pihak berkuasa, namun kejadian sama terus berlaku.

“Berapa banyak lagi nyawa rakyat perlu melayang sebelum tindakan lebih tegas dilaksanakan? Isu ini sudah terlalu lama diperkatakan tetapi apa yang berlaku hari ini menunjukkan masih ramai tidak takut kepada undang-undang.

“Setiap kali tragedi berlaku, masyarakat marah untuk beberapa hari, kemudian semuanya kembali senyap sehingga ada lagi mangsa baharu.

”Kerajaan tidak boleh terus mengambil pendekatan bermusim dalam isu melibatkan nyawa rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sivakumar berkata, pemanduan di bawah pengaruh alkohol perlu diklasifikasikan sebagai jenayah berat kerana ia melibatkan kecuaian melampau yang boleh menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori bagi kes menyebabkan kematian selain pembatalan lesen memandu untuk tempoh panjang serta larangan seumur hidup terhadap pesalah berulang daripada memandu.

Katanya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan hukuman khidmat masyarakat wajib di hospital atau pusat trauma bagi memberi kesedaran kepada pesalah mengenai kesan sebenar kemalangan jalan raya terhadap mangsa dan keluarga.

Selain itu, beliau mencadangkan sekatan jalan raya dilakukan secara lebih agresif dan konsisten terutama pada waktu berisiko tinggi seperti lewat malam, hujung minggu dan musim perayaan.

“Operasi tidak boleh hanya dibuat secara bermusim atau ketika ada kemalangan besar sahaja. Penguatkuasaan mesti konsisten setiap minggu supaya masyarakat benar-benar takut untuk memandu selepas mengambil alkohol,” tegasnya.

Menurut Sivakumar, penggunaan teknologi juga perlu dipertingkat termasuk pemasangan kamera pintar dan sistem pengesanan automatik bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti pemandu berbahaya serta mempercepat tindakan terhadap pesalah.

Beliau turut mencadangkan supaya pusat hiburan dan premis yang menjual alkohol diwajibkan menyediakan peringatan keselamatan secara lebih ketat selain menggalakkan penggunaan perkhidmatan e-hailing bagi pelanggan yang mabuk.

Katanya, kerajaan juga perlu memperluaskan kempen kesedaran awam secara besar-besaran dan berterusan khususnya dalam kalangan golongan muda serta pelajar institusi pengajian tinggi.

“Pendidikan mengenai bahaya pemanduan mabuk tidak boleh dilakukan secara sambilan. Ia perlu dijadikan agenda nasional kerana setiap tahun kita kehilangan nyawa akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu proses perundangan terhadap kes pemandu mabuk dipercepatkan supaya keluarga mangsa tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan keadilan.

“Jangan sampai rakyat melihat undang-undang kita lemah dan tidak memberi kesan kepada pesalah. Nyawa manusia bukan perkara kecil dan tragedi seperti ini tidak boleh terus dianggap sebagai kemalangan biasa,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Keluarga pasangan maut motosikal dirempuh pemandu dipercayai mabuk mohon diberi ruang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast