SEOUL – Korea Selatan akan “menilai semula pendiriannya” mengenai penyertaan dalam operasi Amerika Syarikat di Selat Hormuz selepas Presiden Donald Trump menggesa Seoul untuk mengambil bahagian susulan serangan yang dipercayai dilakukan oleh Iran terhadap salah satu kapalnya.
Satu letupan dan kebakaran dilaporkan berlaku pada sebuah kapal kargo Korea Selatan pada Isnin, di laluan perairan penting itu, yang secara efektif terhalang sejak perang di Timur Tengah tercetus pada 28 Februari.
Kementerian Luar Korea Selatan berkata, kesemua 24 anak kapal HMM Namu termasuk enam rakyat Korea Selatan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Trump mendakwa,insiden itu seharusnya mendorong Korea Selatan menyertai usaha Amerika untuk mengiringi kapal-kapal yang terkandas melalui selat tersebut, yang merupakan laluan utama bagi eksport bahan api yang diperlukan oleh Seoul.
Pada Selasa, Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, ia akan “menilai dengan teliti pendirian kami”, namun tidak memberi komitmen terhadap sebarang perubahan.
Seoul juga akan mempertimbangkan pendiriannya berdasarkan undang-undang antarabangsa, keselamatan laluan maritim global, hubungan sekutu dengan Amerika Syarikat, serta situasi keselamatan di Semenanjung Korea, menurut kementerian itu.
Ia turut menambah, Korea Selatan telah “aktif menyertai perbincangan antarabangsa mengenai kerjasama untuk memastikan laluan selamat di Selat Hormuz”.
HMM Namu ialah kapal kargo sepanjang hampir 180 meter yang berlayar di bawah bendera Panama, menurut data laman penjejakan MarineTraffic.
Pegawai Korea Selatan berkata, kebakaran pada kapal tersebut telah “dipadamkan sepenuhnya.” – AFP














