Mark Jackson (kanan) dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Buriram United mengakui bukan tugas mudah berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam esok.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatihnya, Mark Jackson berkata, anak buahnya tetap berazam untuk beraksi sebaik mungkin dan akan memburu kemenangan.

Pengendali kelahiran England itu tidak melihat prestasi semasa pasukan menjadi ukuran setelah pasukan kendaliannya tewas dalam dua perlawanan dalam saingan Liga 1 Thailand.

“Situasi ini tidak merencatkan moral pemain dan persiapan pasukan secara keseluruhan, ini sebahagian daripada perancangan pasukan apabila merehatkan beberapa pemain utama semata-mata untuk perlawanan ini.

“Memandangkan aksi pertama berlangsung di gelanggang lawan, kami perlu mengambil pendekatan taktikal tertentu untuk membawa bekalan penting sebelum aksi timbal balik.

“Kami hormati JDT sebagai salah satu pasukan gergasi di rantau ini, justeru kami perlu kerja keras untuk mengimbangi kekuatan pasukan lawan. Saya yakin pemain saya mampu mencari jalan untuk memperoleh kemenangan,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Jackson berkata, juara Liga Thailand itu berkemungkinan akan mempamerkan formasi permainan yang berbeza daripada kebiasaan bagi mengekang cara permainan JDT yang agresif dan berintensiti tinggi.

Sementara itu, pemain tengah Buriram United, Kenneth Dougall percaya pertemuan antara dua pasukan ternama Asia Tenggara itu bakal menjanjikan permainan yang menarik.

Katanya, selaku juara bertahan, status itu memberi kekuatan buat pasukan untuk cuba mempertahankan kejuaraan tersebut dan lebih berhati-hati selain tidak berdepan tekanan beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan.

“Kita perlu optimis namun tidak boleh terlalu hilang tumpuan kerana pasukan seperti JDT amat bijak untuk melihat kelemahan itu dan mencari ruang bagi menghasilkan jaringan,” katanya.

Aksi separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Arena Chang, 13 Mei ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast