KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghormati proses undang-undang susulan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban hari ini bersabit kejadian banjir yang berlaku di Lembah Bertam, Cameron Highlands, 13 tahun lalu.
TNB dalam satu kenyataan malam ini berkata, pihaknya memahami bahawa keputusan itu melibatkan taksiran ganti rugi susulan keputusan mahkamah terdahulu berkaitan liabiliti.
“Kami menzahirkan simpati kepada individu serta keluarga yang terjejas, yang telah melalui tempoh yang panjang dan mencabar sepanjang prosiding kes ini.
“TNB kekal komited untuk beroperasi secara bertanggungjawab selaras dengan undang-undang, serta terus mempertingkat aspek keselamatan, pemantauan dan tindak balas kecemasan,” katanya menerusi Facebook TNB CareLine.

Terdahulu, TNB diperintah membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM4.7 juta kepada 100 penduduk Lembah Bertam, Cameron Highlands kerana cuai sehingga menyebabkan banjir di kawasan itu, 13 tahun lalu.
Jumlah itu ditentukan selepas prosiding taksiran ganti rugi oleh Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.
Taksiran ganti rugi dilakukan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Mei 2018 yang membenarkan tuntutan saman penduduk terhadap TNB atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan berlakunya banjir di kawasan berkenaan pada 2013.
Hakim Datuk Nordin Hassan (kini hakim Mahkamah Persekutuan) mendapati TNB selaku pemilik dan pengendali Empangan Sultan Abu Bakar (ESAB) bertanggungjawab menyebabkan banjir yang mengakibatkan kemusnahan kepada harta penduduk dan kehilangan nyawa.
Peguam M. Manogaran dalam satu kenyataan media mengesahkan bahawa Hakim Ahmad Shahrir memerintahkan TNB membayar jumlah keseluruhan RM912,459.76 sebagai ganti rugi khas kepada 100 plaintif yang juga mangsa banjir di Lembah Bertam dalam kejadian pada Oktober 2013.
Katanya, hakim turut memerintahkan bayaran RM30,000 sebagai ganti rugi am bagi setiap plaintif dan ganti rugi teladan sebanyak RM10,000 diberikan kepada 83 plaintif.
“Jumlah keseluruhan ganti rugi yang diberikan ialah RM4,742,459.76 dan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah itu, dikira dari 25 Mei 2018 sehingga tarikh penyelesaian.
“Mahkamah Tinggi mengambil maklum keputusan hakim bicara bahawa TNB bertanggungjawab sepenuhnya dan cuai mengendali dan menyelenggara Empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet, Cameron Highlands,” katanya. – MalaysiaGazette
















