PUTRAJAYA – Seramai lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembekuan beberapa akaun milik Padini Holdings Bhd dan anak syarikatnya, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata, setakat ini seramai 10 individu telah diambil keterangan, manakala 15 lagi sedang dikesan untuk membantu siasatan.
“Kes masih dalam siasatan dan kita sedang melengkapkan proses rakaman percakapan saksi,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan karya seni bernilai tinggi berkaitan pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Padini Holdings Bhd bersama lima anak syarikat tempatan miliknya terlibat dalam pembekuan sebanyak 21 akaun bank sebagai sebahagian daripada siasatan SPRM terhadap rakan niaga luar.
Kebanyakan akaun yang dibekukan adalah milik Padini Corporation Sdn Bhd dengan tujuh akaun, diikuti Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn Bhd serta Padini Dot Com Sdn Bhd dengan masing-masing empat akaun.
Selain itu, Padini Holdings Bhd mempunyai tiga akaun dibekukan, manakala Vincci Ladies’ Specialties Centre Sdn Bhd sebanyak dua akaun dan Seed Corporation Sdn Bhd satu akaun.
Mengulas lanjut, Azam berkata, tindakan pembekuan aset syarikat berkenaan masih diteruskan berdasarkan keperluan siasatan.
“Pegawai penyiasat berpendapat aset syarikat terbabit masih perlu dibekukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menyebabkan ketirisan kepada negara.
“Saya sudah nyatakan sebelum ini sebanyak RM277 bilion hilang dalam tempoh enam tahun lalu dan wang itu perlu dikembalikan kepada rakyat sebanyak mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette
















