Peguam Muda Amanah, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda.

JOHOR BAHRU – Johor tidak memerlukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang jelas merupakan satu langkah tidak demokratik.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, sebaliknya Johor memerlukan persempadanan semula yang adil dan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang munasabah.

Jelas beliau yang juga Exco Pemuda Amanah Nasional, ia termasuk wakil rakyat yang benar-benar mendapat mandat daripada rakyat melalui pilihan raya.

“Dalam keadaan penggal DUN Johor semakin menghampiri penghujungnya dan pembubaran DUN dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa, tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor untuk memperkenalkan ADUN lantikan menimbulkan persoalan besar tentang keutamaan sebenar kerajaan negeri.

“Sepatutnya, keutamaan Kerajaan Negeri Johor hari ini ialah mempercepat usaha persempadanan semula dan menambah bilangan kerusi DUN khususnya di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi terlalu besar dan tidak lagi seimbang dengan kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai contoh, katanya, DUN seperti Skudai, Puteri Wangsa, Stulang dan Kota Iskandar kini merekodkan jumlah pengundi yang hampir atau melebihi 100,000 orang.

Beliau berkata, pada masa yang sama, masih terdapat DUN seperti Endau dan Serom yang mempunyai jumlah pengundi tidak sampai 20,000 orang.

Tegas Fadhli Umar, ketidakseimbangan sebesar itu tidak boleh terus dibiarkan.

Jelasnya, isu pokok yang perlu diselesaikan ialah bagaimana memastikan setiap pengundi di Johor mendapat perwakilan yang lebih adil, seimbang dan munasabah dalam DUN.

“Apakah lebih penting untuk menjaga hak pengundi melalui persempadanan semula yang adil atau melantik individu yang tidak melalui mandat rakyat sebagai ADUN?

“Dalam demokrasi, wakil rakyat sepatutnya dipilih oleh rakyat, bukan dilantik mengikut keselesaan politik kerajaan yang memerintah,” ujarnya.

Menurutnya, jika benar kerajaan BN Johor mahu memperkukuh perwakilan rakyat maka jalan yang betul ialah menambah kerusi melalui proses pilihan raya, bukan mencipta laluan pintas melalui ADUN lantikan.

Cadangan itu katanya, memperlihatkan kegagalan kerajaan BN Johor memahami keutamaan sebenar rakyat.

“Ketika ketidakseimbangan jumlah pengundi antara DUN semakin ketara, kerajaan negeri masih memilih untuk membawa cadangan yang membuka ruang kepada lantikan politik,” katanya.

Pembentangan rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berhubung cadangan pelantikan lima ADUN akan diadakan dalam sidang DUN Johor esok.

Usul tersebut mendapat bantahan banyak pihak bukan sahaja pengimbang di negeri ini tetapi juga komponen Pakatan Harapan (PH) seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast